Pemimpin PKR berpakat beri kelebihan kepada Rafizi di Sarawak, kata sumber


Desmond Davidson

Sejak bermula September lalu, pemilihan PKR dipenuhi pelbagai masalah menimnbulkan persoalan wujudnya salah guna kuasa kepimpinan pusat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 November, 2018.

BEBERAPA orang pemimpin PKR kebangsaan, termasuklah antara yang berada dalam Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) memberikan “kelebihan tidak adil” kepada calon timbalan presiden Rafizi Ramli dalam pemilihan parti di Sarawak, kata sumber pro Azmin Ali.

Sarawak akan menjadi negeri terakhir pemilihan parti berlaku pada 10 November depan, penentu sama ada Azmin akan terus menyandang jawatan timbalan presiden atau terpaksa menyerahkan kedudukan tersebut kepada Rafizi.

Manakala di sebuah lagi negeri Borneo, Sabah, sejumlah 144,000 ahli mula mengundi semalam. Pengundian akan berakhir hari ini.

Sumber parti memberitahu The Malaysian Insight yang mereka percaya beberapa pemimpin pusat berpakat menentang Azmin, membangkitkan dua isu utama yang gagal ditangani kepimpinan parti.

Isu tersebut adalah: dakwaan wujudnya keraguan dalam pendaftaran lebih 12,000 ahli baharu di Bahagian Julau dan penggunaan sistem e-voting di pendalaman Sarawak sedangkan capaian internet sangat lemah atau tidak wujud langsung.

Ketua Penerangan PKR Sarawak Vernon Kedit sudahpun membuat laporan mengenai keraguan pendaftaran ahli baharu Bahagian Julau itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 25 Oktober lalu.

Kedit berkata beliau membuat laporan tersebut selepas kepimpinan negeri sudah menggunakan semua saluran sedia ada untuk cuba mendesak kepimpinan pusat melakukan siasatan.

Pegawai SPRM dilaporkan berkunjung ke Ibu Pejabat PKR Sarawak di Pasar Maong Batu 3 Khamis lepas untuk “mengutip dokumen”.

Rafizi Ramli dan Azmin Ali sedang berebut jawatan orang paling kanan Anwar Ibrahim yang sudah menang tanpa bertanding presiden PKR. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 November, 2018.

Sumber berkata kepimpinan negeri tidak percaya yang SPRM mampu menyiapkan siasatan mereka sebelum tarikh pengundian 10 November dan masih berharap kepimpinan pusat membuat keputusan mengenainya.  

“Mereka tak boleh benarkan 12,000 ahli baharu mengundi sementara siasatan ke atas pendaftaran mereka selesai,” kata sumber.

Julau adalah kawasan ahli Parlimen daripada PKR yang baharu yang juga presiden Parti Pekerja Sarawak (SWP), Larry Sng. Beliau adalah bekas pembantu menteri dalam pentadbiran Barisan Nasional pimpinan Abdul Taib Mahmud.

Semalam, SPRM menyerbu pejabat Sng di Julau dalam siasatan mereka ke atas “ahli hantu” bahagian tersebut. SPRM juga sudah menghubunginya berkaitan siasatan tersebut.

Pasukan SPRM juga berkunjung ke Ibu Pejabat PKR Sarawak, malah seorang ahli parti ditahan selama sehari semalam.

Sng yang secara terbuka memberikan sokongan kepada Rafizi dilaporkan berkata pada sebuah majlis rumah panjang yang keahlian Bahagian Julau meningkat mendadak daripada hanya 603 ahli pada 26 Jun kepada 12,000 dalam tempoh sehari.

Selain laporan SPRM, Kedit juga membuat Pengakuan Bersumpah (SD) menyatakan pendaftaran 12,000 ahli baharu itu meragukan dan haram.

PKR pusat bertegas melakukan pemilihan menerusi sistem e-voting di Sarawak, sedangkan dakwa kepimpinan negeri capaian internet yang bermasalah di kawasan pendalaman menyukarkan ia dilakukan secara lancar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 November, 2018.

Dalam SD tersebut, beliau turut mendedahkan yang 1,310 orang tidak mahu menjadi ahli tetapi didaftarkan juga sementara 65 orang lagi didaftarkan semula walaupun sudah jadi ahli.

Khamis lalu, seorang bekas ahli Parti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras) – yang kini sudah bubar- membuat laporan polis di Sibu mendakwa lima orang yang “mendaftar” sebagai ahli baharu Bahagian Julau sudah lama meninggal dunia.

“Jelas sekali ada sesuatu yang tak kena di Bahagian Julau tetapi parti tak bertindak,” kata sumber.

Kedit ketika mengulas laporannya kepada SPRM berkata, ia dilakukan supaya siasatan teliti dapat dilakukan bagi menentukan sama ada terdapat salah guna kuasa pemimpin parti bagi “melenyapkan keraguan” yang wujud.

Setiausaha Agung PRK Saifuddin Nasution Ismail yang mengulas SD Kedit berkata beliau tidak boleh bertindak kerana senarai ahli untuk semua bahagian sudah dimuktamadkan dan tempoh bantahan sudah tamat.

Bagaimanapun, pemimpin negeri mempersoalkan mengapa beliau tidak bertindak susulan bantahan yang dikemukakan mereka sebelum tempoh bantahan berakhir.

Tiadanya tindakan kepimpinan pusat menimbulkan kekecewaan kepimpinan PKR Sarawak yang mendakwa ia dilakukan untuk memberi kelebihan kepada Rafizi Ramli. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 November, 2018.

Setiausaha PKR Sarawak Nicholas Bawin mendakwa dua bantahan bertulis dihantar ke Ibu Pejabat PKR pusat tidak pernah dijawab Saifuddin.

Sumber parti juga menambah yang tindakan parti yang bertegas mahu menggunakan sistem e-voting di kawasan pendalaman Sarawak yang capaiannya internetnya bermasalah juga bukti jelas kepimpinan pusat memberikan kelebihan kepada Rafizi di Sarawak.

Beliau berkata yang capaian internet di kawasannya, Ba Kelalan yang hampir dengan sempadan Sarawak-Kalimantan serta kawasan Ketua PKR Sabah Baru Bian di Selangau sangat bermasalah.

Pengerusi JPP Rashid Din berkata negara sudah mencapai kemajuan teknologi yang baik dan pengundian menggunakan kertas tidak akan digunakan dalam pemilihan kali ini.

Sejak bermula pada 22 September lalu, pemilihan PKR dipenuhi kontroversi.

Semalam, kekecohan antara penyokong Rafizi dan Azmin tercetus di Keningau. Rafizi mendakwa dikasari dalam kekecohan tersebut.

Pemilihan PKR akan berakhir dengan tamatnya pengundian di 29 bahagian di Sarawak pada 10 November. Selepas itu, pemilihan semula di tujuh bahagian di tiga negeri akan diadakan keesokan harinya. – 4 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen