Forum kecoh kerana jawapan isu Memali tak memuaskan, kata Hadi


Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata tragedi Memali yang berlaku pada 1985 memberikan kesan kepada parti kerana turut mengorbankan seorang pemimpinnya. – Gambar fail The Malaysia Insight, 15 Ogos, 2017.

FORUM “Nothing to Hide 2.0” yang diadakan pada Ahad bertukar kecoh kerana jawapan Dr Mahathir Mohamad berkenaan isu Memali tidak memuaskan, kata Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Hadi berkata, tragedi berdarah yang berlaku pada 1985 itu memberikan kesan kepada PAS kerana seorang pemimpinnya turut terkorban.

“Semua pihak menunding jari menyalahkan pihak lain dengan melupai punca asas tercetusnya kekecohan apabila jawapan yang tidak memuaskan hati terhadap peristiwa Memali,” kata Hadi dalam satu kenyataan yang disiarkan portal Harakahdaily hari ini.

“PAS adalah mangsanya apabila diserang hebat sehingga mengorbankan salah seorang pemimpinnya, Ustaz Ibrahim Mahmud dan rakan-rakan.”

Hadi merujuk kepada Ibrahim Mahmud yang turut dikenali sebagai Ibrahim Libya yang terkorban bersama 13 lain pada 1985 ketika Dr Mahathir masih menjadi perdana menteri.

Forum yang dianjurkan Bersatu pada Ahad bertujuan mengadakan debat antara Dr Mahathir dan Perdana Menteri Najib Razak.

Bagaimanapun Najib tidak hadir dan hanya Dr Mahathir yang memberikan ucapan dan menjawab soalan hadirin.

Ia pada mulanya berlangsung dengan aman sehinggalah seorang hadirin bertanya mengenai isu Memali.

“Empat polis dibunuh dengan tangan mereka, balasannya dengan cara itu. Itu adalah SOP,” kata Dr Mahathir yang kemudian terhenti selepas seorang hadirin membaling selipar ke arahnya.

Serentak dengan itu juga beberapa suar turut dibaling di tengah Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam, tempat forum itu diadakan.

Hadi turut mengucapkan terima kasih kepada hadirin yang bertanyakan soalan berkenaan peristiwa Memali itu.

“Kepada yang tidak mampu menjawab sepatutnya tidak marah dan orang lain tidak membuat kekecohan.

“Anak-anak muda sahaja tidak sepatutnya dipersalahkan, sepatutnya juga dipersalahkan yang menjadi penyebabnya,” kata Hadi.

Hadi berkata, selepas berlakunya peristiwa Memali dahulu, ulama PAS mengisytiharkan meraka yang terbunuh sebagai “mati syahid” kerana menjadi mangsa dan dibunuh dengan zalim.

“Mereka mempertahankan Islam yang ditegakkan.

“Ketika itu Ustaz Ibrahim Mahmud dan rakan-rakannya dipersalahkan, bukan pula dipersalahkan orang yang selalu menghina Islam dan hukumnya yang sangat dimarahi oleh Ustaz Ibrahim dan rakan-rakan,” kata ahli Parlimen Marang itu.

Tanpa menyebut nama, Hadi berkata tiada gunanya mengungkit peristiwa silam itu jika tiada pemohonan maaf dilakukan.

“Tiada guna mengungkit cerita lama sejarah hitam itu tanpa bertaubat dan meminta maaf sekiranya bersalah, dan tanpa membetulkan keadaan dengan membayar yang perlu dibayar dan mengganti yang perlu diganti.” – 15 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen