Forum 'Nothing to Hide 2.0' kecoh, Dr Mahathir dibaling selipar


Diyana Ibrahim Bede Hong

Forum yang bermula pada jam 4 petang itu bertukar menjadi tidak terkawal setelah Dr Mahathir Mohamad menjawab soalan peserta mengenai insiden Memali. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 13 Ogos, 2017.

FORUM “Nothing to Hide 2.0” yang padanya awalnya diadakan dalam keadaan aman bertukar kecoh apabila ada peserta melemparkan selipar dan membaling suar ketika acara itu sedang berlangsung.

Forum yang bermula pada jam 4 petang itu bertukar menjadi tidak terkawal setelah Dr Mahathir Mohamad menjawab soalan peserta mengenai insiden Memali.

Ketika Dr Mahathir menjawab soalan itu secara tiba-tiba beberapa kasut dilemparkan kepadanya dan serentak dengan itu beberapa suar turut dibaling di tengah Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam, tempat forum itu diadakan.

Penganjur dan peserta saling cuba meredakan keadaan selepas kekecohan tercetus ketika program “Nothing to Hide 2.0” berlangsung petang tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 13 Ogos, 2017.

Kekecohan yang berlaku itu memaksa penganjur segera membawa Dr Mahathir dan tetamu VIP lain keluar dari dewan.

Forum yang dianjurkan Pemuda Bersatu itu adalah platform kepada Dr Mahathir dan Perdana Menteri Najib Razak berdebat tentang masalah yang menyelubungi 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Najib tak datang kerana ada buat salah

Sebelum kekecohan itu tercetus, Dr Mahathir memperolok-olokkan Najib Razak kerana tidak muncul pada forum berkenaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hari ini dengan mengatakan perdana menteri itu tidak datang tandanya beliau ada buat salah bersabit skandal kewangan yang sedang disiasat di beberapa negara di serata dunia itu.

“Dia tidak hadir ke sini sebab dia ada banyak perkara nak disembunyikan… dia sedang bersembunyi,” kata Dr Mahathir kepada hampir 2,000 hadirin.

Forum “Nothing to Hide 2.0” anjuran Bersatu itu, rata-rata dihadiri oleh ahli parti berkenaan.

Ini adalah kali kedua forum seumpamanya yang menggunakan tajuk majlis yang sama. Forum “Nothing to Hide” pada 5 Jun 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dihentikan polis ketika Dr Mahathir baru enam minit berucap atas alasan keselamatan. Forum itu dianjurkan badan Sukarelawan Peguam (SukaGuam).

Dr Mahathir yang merupakan bekas presiden Barisan Nasional (BN), mengatakan Najib mengetuai sekumpulan “pencuri” yang mencuri RM42 bilion dari negara.

“Saya cabar perdana menteri supaya datang. Apa yang dia takut? Awak kata awak tak bersalah, dan kalau saya tak boleh buktikan awak bersalah, jadi saya salahlah. Jadi, kenapa bersembunyi?” katanya, mengulangi tuduhan Najib terlibat dalam penyelewengan dana 1MDB.

Najib dijemput menyertai forum itu, tetapi presiden UMNO itu hari ini pada masa sama merasmikan mesyuarat Umno Bahagian Masjid Tanah di Melaka.

Pada forum itu, Dr Mahathir mengulangi nada dan tema serangannya terhadap Najib sebelum ini dengan menegaskan beliau mesti bertanggungjawab ke atas semua siasatan yang sedang dijalankan di seluruh dunia.

“Duit yang dicuri itu dibawa ke Amerika Syarikat (AS), melalui beberapa bank dan digunakan untuk membiayai filem ‘The Wolf of Wall Street’. Apa yang dilakukan Jabatan Kehakiman AS (DoJ) mestilah ada kaitan dengan jenayah yang dilakukan di AS. Tiada apa yang boleh disorok. DoJ boleh dapatkan bukti menerusi kenyataan/surat bank.

“Setiap kali duit bergerak, akan ada jejaknya. Kita bukan bercakap tentang RM10,000, yang mana mesti dilaporkan (kepada bank pusat). RM1 bilion adalah satu jumlah yang banyak. Boleh muat satu lori. Tapi ini 42,000 lori. Jumlah sebegini tak boleh disembunyikan,” kata Dr Mahathir.

Dalam saman sivilnya, DoJ mengatakan antara 2009 dan 2015, terdapat AS$4.5 bilion harta 1MDB dipindahkan oleh pegawai-pegawai berkedudukan tinggi dana itu dan juga sekutunya.

DoJ minggu lalu memohon kepada sebuah mahkamah di Los Angeles untuk menangguhkan prosiding saman sivil itu bagi memulakan siasatan jenayah.

“Saya tak suka apabila undang-undang dilanggar secara terang-terangan. Undang-undang adalah penting dan bertujuan demi kemananan. Negara akan kucar-kacir tanpa undang-undang,” kata Najib.

“DoJ kata jejak duit itu berakhir dengan Malaysian Official 1 (MO1). Siapa MO1? Mudah saja, (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) Rahman Dahlan kata itu Najib.—13 Ogos 2017


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen