Kecoh di forum: Tiga suspek ditahan termasuk dua pelajar kolej


Diyana Ibrahim

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Shafien Mamat bercakap kepada pemberita selepas kekecohan semasa forum 'Nothing to Hide 2.0' di Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 13 Ogos, 2017.

SEKURANG-KURANGNYA tiga suspek yang mencetuskan kekecohan pada forum “Nothing To Hide 2.0” ditahan oleh polis bagi membantu siasatan, kata Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Shafien Mamat.

Beliau berkata tiga yang ditahan berumur antara 17 hingga 19 tahun dan dua daripadanya pelajar kolej di Selangor.

“Setakat 5.45 petang, tiga ditahan dan tangkapan dibuat oleh orang awam dan diserahkan kepada polis,” katanya kepada media di Dewan Raja Muda Musa.

Bagaimanapun, katanya polis masih belum membuat siasatan kerana belum ada pihak yang membuat laporan.

Beliau juga mengesahkan tiada yang cedera ketika kekecohan itu berlaku.

Terdahulu, kekecohan berlaku ketika forum “Nothing To Hide 2.0” sedang berlangsung di Dewan Raja Muda Musa Shah Alam .

Ia tercetus sejurus ketika Dr Mahathir Mohamad menjawab soalan seorang peserta forum itu mengenai insiden Memali.

Anggota polis memasukkan kerusi ke dalam kereta sebagai bahan bukti dalam kes kekecohan forum “Nothing to Hide 2.0” di Shah Alam petang tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 13 Ogos, 2017.

Ketika itu secara tiba- tiba beberapa selipar dan botol dibaling dari tengah dewan ke arah Dr Mahathir.

Kerusi juga dicampak dan dua suar turut dibaling oleh suspek.

Forum anjuran Pemuda Bersatu itu platform kepada Dr Mahathir dan Najib Razak berdebat tentang masalah yang menyelubungi 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bagaimanapun Najib yang turut dijemput menghadiri program itu tidak hadir. – 13 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen