Penganjur 'Nothing to Hide 2.0' gagal sedia tahap keselamatan terbaik


Menteri di Jabatan Perdana Menteri Abdul Rahman Dahlan berkata isu keselamatan sepatutnya diberi keutamaan kerana melibatkan pemimpin seperti Dr Mahathir Mohamad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Ogos, 2017.

PIHAK penganjur program “Nothing To Hide 2.0” gagal menyediakan tahap keselamatan yang terbaik sehingga menimbulkan kekecohan semalam, kata Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN) Abdul Rahman Dahlan.

Sambil melahirkan rasa kecewa dan sedih, Abdul Rahman yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri  berkata isu keselamatan sepatutnya diberi keutamaan kerana melibatkan pemimpin seperti Dr Mahathir Mohamad dan pihak Pemuda Bersatu tidak memastikan keselamatan semua pihak terjamin.

“Itu adalah tanggungjawab yang diberikan kepada Pemuda Bersatu. Kalau saya jadi penganjur, saya akan periksa semua bag satu persatu. Tetapi, ada orang boleh bawa mercun suar pada program itu,” katanya mengulas insiden kekecohan pada forum di Shah Alam, Selangor itu yang didakwa dirancang parti pemerintah dan Umno.

Program yang pada mulanya berjalan lancar terpaksa dihentikan selepas kasut, kerusi, suar, selipar dan botol air dibaling ketika Dr Mahathir sedang menjawab soalan berhubung tragedi Memali yang berlaku pada 1985.

Bercakap kepada media selepas menyampaikan amanat pada Mesyuarat Kerjasama Strategik Unit Perancang Ekonomi-Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPE-UPEN) di Putrajaya hari ini, Abdul Rahman meminta Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali agar tidak menuding jari kepada Umno berhubung insiden itu selagi siasatan polis belum selesai.

“Kita semua memang tahu, bahawa perjumpaan itu amatlah provokasi dengan soalan yang ditanya oleh anak-anak muda. Polis pun pernah menyifatkan perjumpaan ini akan mengundang masalah. Kita serahkan kepada polis untuk siasast dan baru kita boleh komen,” katanya.

“Azmin tidak boleh tuding jari kata Umno yang memulakan masalah, kita (Umno) pun boleh tuding jari mengatakan mereka (penganjur) meletakkan beberapa orang untuk menimbulkan kekecohan untuk Umno mendapat nama buruk. Mana kesudahannya. Kita tunggulah polis selesaikan siasatan itu. Mungkin tangkapan dua tiga orang boleh beri petunjuk siapa yang bertanggungjawab,” katanya. – Bernama, 14 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen