'Nothing to Hide 2.0' jadi 'Everything to Hide', kata pegawai Najib


Forum 'Nothing to Hide 2.0' sudah jadi forum 'Everything to Hide', kata Tengku Sariffuddin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Ogos, 2017.

KEKECOHAN yang tercetus dalam forum “Nothing to Hide 2.0” semalam berpunca daripada penyokong Dr Mahathir Mohamad sendiri yang marah kerana beliau tidak dapat menjawab soalan-soalan berhubung skandal semasa pentadbirannya, kata pegawai kanan perdana menteri.

Soalan-soalan itu termasuk tentang tindakan penjara ke atas Anwar Ibrahim dan peristiwa berdarah di Memali, kata Setiausaha akhbar kepada Perdana Menteri Najib Razak Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad.

“Forum ‘Nothing to Hide 2.0’ sudah jadi forum Everything to Hide (semua hendak disorok),” katanya dalam satu kenyataan lewat petang ini. 

Katanya, forum itu dianjur dan diuruskan oleh Bersatu, dan dihadiri pula oleh pimpinan dan penyokongnya. 

“(Bersatu) bertanggungjawab sepenuhnya atas acara itu, jadi menyalahkan kekecohan itu terhadap Umno adalah satu percubaan untuk menutup tindakan ahli-ahlinya yang memalukan.”

Forum semalam yang sepatutnya mempertemukan Dr Mahathir dan Najib untuk berdebat tentang 1MDB pada awalnya berlangsung dengan aman. Dr Mahathir sempat menjawab sekurang-kurangnya 8 soalan sebelum individu yang tidak dikenali tiba-tiba muncul dari tengah-tengah hadirin dan membaling selipar.

Keadaan bertukar kecoh dan dihentikan serta-merta.

Menurut Tengku Sariffuddin, sebagai gabungan politik yang berpecah-belah, apalah yang boleh diharapkan daripada Pakatan Harapan (PH) yang kerjasama antara bekas-bekas musuh yang melakukan apa saja untuk menghancur antara satu sama lain sejak berdekad-dekad lalu.

Bersatu menyertai PH yang dianggotai oleh PKR, DAP dan Amanah. Ia ditubuhkan selepas Pakatan Rakyat bubar apabila PAS berselisih faham dengan DAP.

Mengulas dakwaan pemimpin PH yang menyalahkan Umno dan Najib, Tengku Sariffuddin berkata ia satu cubaan untuk mengalihkan perhatian daripada perpecahan dalaman Bersatu serta satu lagi contoh bagaimana pembangkang mencipta kebencian terhadap kerajaan setiap kali ada peluang.

Katanya, kalau forum seperti itu pun tidak boleh PH anjurkan tanpa kekecohan, bayangkan saja apa yang ia lakukan kepada Malaysia dan dakwanya negara boleh porak-peranda kalau pakatan yang diketuai oleh DAP itu jadi kerajaan.

Beberapa pemimpin PH termasuk Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub meminta Najib bertanggungjawab atas kekecohan yang berlaku. Ada juga yang membayangkan akan ada lebih banyak lagi provokasi seumpamanya apabila PRU14 semakin hampir nanti.

Tengku Sariffuddin memaklumkan pihak berkuasa akan menyiasat kejadian yang berlaku dan mengambil langkah sewajarnya mengikut undang-undang.

“Kerajaan di bawah kepimpinan perdana menteri akan terus memberi tumpuan kepada kebajikan ekonomi, kesejahteraan sosial dan keselamatan semua rakyat Malaysia,” katanya.

Siasatan awal polis mendedahkan tiga suspek yang ditahan dibayar RM50 untuk hadir ke forum berkenaan. Tiga suspek itu ditahan reman sehingga 17 Ogos ini. – 14 Ogos, 2017.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen