Selepas 'Nothing to Hide 2.0', Anwar bimbang keganasan meningkat menjelang PRU14


KETUA Umum PKR Anwar Ibrahim berkata keganasan dibimbangi akan meningkat menjelang PRU14 selepas kekecohan berlaku pada forum "Nothing To Hide 2.0", semalam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Ogos, 2017.

KETUA Umum PKR Anwar Ibrahim bimbang keganasan akan meningkat menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) selepas kekecohan berlaku pada forum “Nothing To Hide 2.0”, semalam.

Anwar berkata kerajaan bertanggungjawab memastikan hak dan kebebasan semua orang termasuk Dr Mahathir Mohamad untuk menyampaikan pandangan dipelihara.

“Saya ingin merujuk kepada majlis ceramah Dr Mahathir semalam yang diganggu oleh beberapa perusuh. Gejala tersebut dikhuatiri akan meningkat menjelang PRU14,” kata Anwar yang juga ketua umum Pakatan Harapan (PH) dalam satu kenyataan hari ini.

Forum “Nothing to Hide 2.0” anjuran Bersatu semalam pada awalnya berjalan secara aman bertukar kecoh dan tidak terkawal apabila ada peserta melemparkan selipar dan membaling suar ketika majlis sedang berlangsung.

Dr Mahathir sebelum itu sempat menjawab lapan soalan yang dikemukakan kepadanya dan kejadian berlaku ketika beliau menjawab soalan tentang peristiwa Memali.

Anwar berkata pengalamannya berkempen semasa PRU13 membuktikan jangkaannya itu tidak mustahil berlaku ketika mana bas yang beliau naiki diserang dengan batu, dan beliau mendakwa tidak sebarang tindakan oleh pihak polis.

Dalam insiden itu bas kempen PKR, Merdeka Rakyat dibaling batu dan disimbah cat merah semasa ceramah di Bukit Katil, Melaka.

“Maka kami mendesak kerajaan untuk bertindak tegas terhadap gerombolan tersebut,” katanya.

Forum “Nothing to Hide 2.0” dianjurkan Pemuda Bersatu sebagai satu platform untuk bekas perdana menteri itu dan Najib berdebat isu yang menyelubungi skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Polis semalam menahan tiga suspek yang mencetuskan kekecohan pada berumur antara 17 hingga 19 tahun dan dua daripadanya pelajar kolej di Selangor. Mahkamah hari ini mengeluarkan perintah tahanan reman empat hari ke atas ketiga-tiga remaja terbabit. – 14 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen