Sikap harapkan insentif mentaliti salah, kata Dr Mahathir


Yasmin Ramlan

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata usahawan perlu berusaha sendiri untuk hadapi cabaran industri baharu selepas melancarkan Polisi Negara: Industri 4.0 di Menara MITI, Kuala Lumpur hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 31 Oktober, 2018.

USAHAWAN tidak harus mengharapkan bantuan kerajaan semata-mata sebaliknya perlu berusaha sendiri untuk menghadapi cabaran industri baharu, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata demikian ketika ditanya hari ini mengenai langkah kerajaan untuk membantu golongan usahawan untuk menggunakan teknologi baharu.

“Sudah selalu sangat dan sehingga sekarang, dan juga sebelum ini lagi, semua orang mahukan insentif bahkan untuk makan pun anda masih mahukan insentif. Ia satu mentaliti yang salah.

“Apabila kita cuba beritahu orang ramai bagaimana untuk menjana duit lebih, mereka bertanya kepada saya, sama ada saya (kerajaan) akan beri mereka insentif? 

“Kami beritahu mereka untuk jana duit lebih. Insentif apa yang kamu mahukan? Itulah insentifnya - jana duit lebih,” katanya kepada pemberita.

Beliau ditanya demikian memandangkan golongan pengusaha kini masih ramai yang tidak menggunakan teknologi baharu digelar Industri 4.0 itu disebabkan faktor kos.

Dr Mahathir bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Polisi Negara: Industri 4.0 di Menara MITI, Kuala Lumpur.  

Beliau berkata, sekiranya rakyat Malaysia hanya mengharapkan bantuan kerajaan melalui subsidi dan insentif seperti dilakukan oleh pentadbiran kerajaan sebelum ini, mereka tidak akan mampu melakukan apa-apa pun atas usaha sendiri. 

“Semua orang mahukan subsidi, mahukan insentif. Kenapa tak ambil saja keuntungannya? Mereka (kerajaan) berikan wang kepada anda? Itu yang kerajaan terdahulu lakukan. Mereka tabur wang kepada kepada orang ramai. 

“Mereka (rakyat) tak perlu kerja, (kerana kalau) anda tak kerja pun pun boleh dapat RM500. Jika rakyat Malaysia jadi macam tu (dilayan seperti itu), tak lama lagi mereka tak boleh berfikir, tak boleh bergerak dan mereka tak boleh lakukan apa-apa pun untuk diri mereka kerana asyik mengharapkan subsidi,” katanya. 

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad merasmikan acara pelancaran Polisi Negara: Industri 4.0 di Menara MITI, Kuala Lumpur hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 31 Oktober, 2018.

Sementara itu, beliau turut mengulas mengenai kenyataan Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mengatakan zaman ketuanan Melayu telah berakhir, di mana pengerusi parti itu berpendapat kaum Melayu itu sendiri sewajarnya bekerja keras tanpa membangkitkan isu ketuanan Melayu. 

“Saya beritahu kepada orang Melayu semua, tak guna bercakap berkenaan ketuanan Melayu kalau kamu bekerja sebagai kuli orang. Kalau kita nak jadi tuan (bos), kita boleh jadi tuan tapi nak kena ada ilmu, nak rajin kerja, nak kena buat benda secara yang baik, jangan tipu, jangan curi, jangan ikut contoh perdana menteri lama,” katanya. 

Minggu lalu, menteri belia dan sukan itu berkata zaman ketuanan Melayu sudah berakhir, memandangkan Malaysia kini bergerak ke arah fasa baharu yang memperjuangkan kesaksamaan dan perkara tersebu turut menjadi agenda yang akan diperjuangkan Bersatu. 

Bagaimanapun, Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki membidas kenyataan ahli Parlimen Muar itu dengan menyifatkan apa yang dikatakan Syed Saddiq itu seolah-olah agenda Melayu tidak lagi relevan dalam landskap politik Malaysia baharu. 

Bekas menteri Umno itu turut mempelawa Syed Saddiq melalui Twitter, untuk berdialog  berhubung perkara kontroversi itu. 

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin pula berkata, kenyataan menteri paling muda itu disalah tafsir seolah-olah parti itu tidak memperjuangkan kepentingan orang Melayu, walhal parti itu wujud atas dasar memperjuangkan nasib kaum itu selaras dengan perkara-perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. – 31 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen