Jabatan Air Sabah raih pendapatan RM58 juta dalam tempoh 2 bulan


Jason Santos

KEPUTUSAN untuk melakukan rombakan pada pengurusan tertinggi Jabatan Air Sabah membuktikan ia merupakan langkah yang tepat, kata Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal.

Katanya jabatan itu mengumpulkan pendapatan sebanyak RM58 juta dalam tempoh dua bulan selepas rombakan dilaksanakan.

“Alhamdulillah, selepas penstrukturan semula, pelantikan pengarah baharu bersama 19 jurutera daerah dengan kontrak, jabatan itu menjana RM58 juta dalam tempoh lebih dua bulan.

“Ini bukan sahaja sumber pendapatan untuk Sabah tetapi menunjukkan kerajaan negeri kini mempunyai dana untuk mengatasi masalah bekalan air di negeri ini.

“Akhirnya, jabatan ini berfungsi dengan baik,” katanya kepada pemberita selepas bertemu Menteri Tanah, Air dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar di Kota Kinabalu hari ini.

Laporan Audit Negara 2015 menunjukkan prestasi pengurusan Jabatan Air Sabah ketika di bawah kerajaan Barisan Nasional, kurang daripada memuaskan.

Skandal rasuah yang membelenggu jabatan itu ternyata mengejutkan seluruh negara apabila laporan berjuta-juta wang, barang kemas, beg mewah dan geran tanah ditemukan di rumah pegawai kanan jabatan itu pada 2016.

Seorang bekas timbalan pengarah jabatan itu mengaku tidak bersalah di mahkamah sesyen Kota Kinabali atas 146 pertuduhan menyeleweng dana awam berjumlah RM32 juta.

Bekas timbalan pengarah Ag Mohd Tahir Ag Talib, isterinya dan seorang lagi timbalan pengarah Lim Lam Peng, didakwa atas 37 pertuduhan penyalahgunaan wang.

Keputusan Shafie melantik Amarjit Singh yang bukan merupakan penjawat awam, untuk mengetuai jabatan itu mengundang banyak kritikan.

Ketua menteri itu berkata Sabah perlu menempuh perjalanan yang masih jauh untuk mengatasi krisis air dengan banyak lagi kawasan tidak mempunyai akses bekalan air bersih. – 30 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen