Tiada lagi orang tengah urus pengambilan pekerja Nepal


Yasmin Ramlan

Menteri Sumber Manusia M. Kulasegaran berkata usaha mengambil pekerja dari Nepal akan hanya dilakukan melalui rundingan antara kerajaan dengan kerajaan (G2G). – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Oktober, 2018.

PUTRAJAYA akan tidak akan lagi melantik sebarang syarikat sebagai orang tengah dalam pengambilan pekerja asing dari Nepal, kata Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran.

Sebaliknya, usaha mengambil pekerja dari negara itu akan hanya dilakukan melalui rundingan antara kerajaan dengan kerajaan (G2G).

“Kami sedang hapuskan orang tengah dan sebaliknya akan menggunakan G2G dalam pengambilan secara langsung,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen hari ini.

Beliau semalam memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Nepal untuk melonggarkan peraturan bagi tenaga kerja negara itu masuk ke Malaysia.

Memorandum itu antara lain menggariskan, pekerja Nepal tidak perlu lagi membayar sebarang fi untuk bekerja di Malaysia, lapor Kathmandu Times.

Majikan juga akan bertanggungjawab ke atas perbelanjaan ditanggung pekerja terbabit, termasuk bayaran perkhidmatan, tiket penerbangan, fi visa, pemeriksaan kesihatan dan juga keselamatan.

Kulasegaran berkata pihaknya sedang membincangkan mengenai perkara sama dengan kerajaan Bangladesh di mana MoU itu akan turut ditandatangani bersama negara itu.

Katanya, negara lain seperti Indonesia dan India masih dalam rundingan.

“MoU bersama Nepal telah dimeterai dan mereka akan dapat menghantar pekerja mereka (ke sini) secepat mungkin,” katanya.

Kerajaan pada Ogos lalu mengumumkan satu sistem baharu akan ditubuhkan bagi pendaftaran kemasukan pekerja asing antara negara pembekal buruh ke negara ini. – 30 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen