Ubat habis stok, pesakit mengadu terpaksa kerap ulang-alik ke hospital


Jason Santos Nabihah Hamid Sheridan Mahavera

Sebelum ini, bekalan ubat diberikan untuk tempoh sebulan, tetapi sejak sebulan lalu dilaporkan pesakit terpaksa berulang-alik ke hospital seminggu sekali bagi mendapatkan ubat mereka. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 14 Ogos, 2017.

SEJAK sebulan yang lalu, setiap minggu Clement Chong terpaksa berulang-alik ke hospital kerajaan di Kota Kinabalu bagi mendapatkan ubat sapu untuk penyakit kulitnya. Belanja ulang-alik itu memakan duit pencen kerja kerajaan yang dia terima setiap bulan.

Sebelum ini, pesara kerajaan itu hanya ke hospital sekali sebulan untuk mendapatkan ubat yang sama dari Hospital Queen Elizabeth.

Tetapi sejak kebelakangan ini, dia dan kawan-kawannya diberitahu kakitangan hospital, ubat-ubatan terutama bagi masalah penyakit seperti kolestrol tinggi dan darah tinggi terpaksa dicatu kerana tidak cukup bekalan.

“Kami dinasihatkan untuk datang mendapatkan ubat setiap minggu. Selalu mereka cakap tak ada stok,” kata Chong kepada The Malaysian Insight.

“Ini menyusahkan untuk orang umur macam saya yang terpaksa bawa kereta sendiri untuk ambil ubat,” katanya, sambil merungut susahnya mendapatkan tempat parkir di kawasan hospital itu.

Masalah sama juga dilaporkan di beberapa hospital kerajaan di serata Malaysia.

Pesakit dan ahli keluarga pesakit yang ditemui The Malaysian Insight memberitahu mereka sukar mendapatkan bekalan ubat sama ada untuk diri sendiri atau untuk anak-anak dan ibu bapa yang tua.

“Stok tidak cukup” dan “pesakit digalakkan beli ubat sendiri” adalah antara jawapan yang diberikan kepada pesakit oleh hospital kerajaan di Lembah Klang apabila mereka meminta ubat lebih atau bekalan untuk mencuci dan membalut luka.

Kesulitan yang mereka hadapi ini mencetuskan kebimbangan kerajaan memotong peruntukan kepada Kementerian Kesihatan, sehingga menjejaskan bekalan ubat di hospital dan klinik kerajaan.

Guru tuisyen Azila Ismail memberitahu anaknya dimasukkan ke wad kanak-kanak di Hospital Selayang selama seminggu lewat tahun lalu selepas kulitnya melecur dalam satu kemalangan di rumah.

“Hanya ada satu ubat untuk lecur tetapi pihak hospital beritahu saya tidak ada stok. Saya terpaksa beli sendiri dari farmasi swasta dan harganya agak mahal,” kata ibu 39 tahun itu.

Stok ubat tidak cukup dan pesakit digalakkan beli ubat sendiri antara alasan popular yang diberikan kepada pesakit yang selama ini bergantung kepada ubat dari hospital kerajaan. – Gambar EPA, 14 Ogos, 2017.

Timbalan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Dr Jeyaindran Sinnadurai mengaku hospital kerajaan berdepan dengan masalah ini tetapi menekankan ia bukan kerana perbelanjaan kementerian sudah dipotong.

Malah, kementerian menerima tambahan RM2 bilion melalui Bajet 2017, menjadikan jumlah keseluruhannya RM24 bilion.

Isunya, kata Dr Jeyaindran, ada dua: jumlah keseluruhan pesakit yang datang mendapatkan rawatan di hospital kerajaan pada tahun ini meningkat 20% dan masalah pada vendor yang bertanggungjawab membekalkan ubat berdepan.

Dua isu itu bagaimanapun dijangka akan selesai dalam masa dua tiga minggu akan datang, kata Dr Jeyaindran, dan pesakit akan mendapat bekalan ubat bulanan seperti biasa.

Berita ini pasti menenangkan orang seperti Yapp Ling Yong, 39, dari Kota Kinabalu, yang selalu ke hospital mengambil ubat untuk ayahnya yang sudah berumur 80 tahun, Yapp Chong Lim.

Ayahnya menghidap penyakit darah tinggi, kolestrol tinggi, kelenjar prostatnya membengkak, ditambah pula masalah paru-paru dan kemurungan.

“Kami diberitahu ubat di hospital tak cukup. Selalunya mereka beri ubat untuk 30 hari tetapi sekarang hanya 10 atau 15 hari.”

Ibu tunggal, Hairani Halim, 57, berharap hospital kerajaan boleh menimbangkan memberikan balutan luka yang lebih untuk pesakit yang berpendapatan rendah sepertinya.

Hairani menerima rawatan kencing manis di Hospital Besar Kuala Lumpur sejak setahun yang lalu.

Dua jari kakinya sudah dipotong dan dia berulang-alik ke hospital untuk pemeriksaan doktor dan cuci luka.

“Dulu saya biasa dapat balutan lebih. Tetapi tahun ini jururawat beritahu hospital galakkan kami beli sendiri. Jadi saya belilah dari farmasi,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Saya tidak ada sebarang pendapatan dan saya bergantung sepenuhnya pada duit anak-anak.” – 14 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen