Pemuda Umno kecewa penjelasan Zahid tak jujur, kata sumber


SM Amin

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berdepan 45 pertuduhan melibatkan 10 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan menerima suapan lebih RM42 juta, dan 27 pertuduhan aktiviti pengubahan wang haram. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Oktober, 2018.

PEMUDA Umno mendesak Ahmad Zahid Hamidi direhatkan kerana kecewa dengan penjelasan “tidak jujur” daripada presiden Umno itu berhubung kes mahkamah yang beliau hadapi, kata sumber.

Sumber ketika ditemui berkata, Ketua Pemuda Umno Malaysia Asyraf Wajdi Dusuki memberikan penjelasan terperinci dan rasional dalam pemukiman Pemuda Umno Ahad lalu berhubung keputusan sayap parti itu.

Kata sumber, Asyraf memaklumkan beliau mengadakan pertemuan dengan Zahid bagi mendapatkan penjelasan mengenai pendakwaan yang dihadapi sebelum dihadapkan ke mahkamah pada 19 November lalu.

Bagaimanapun kata sumber, selepas meneliti semua pertuduhan ke atas Zahid, Asyraf memaklumkan penjelasan yang diberikan oleh Zahid sebelum ini berbeza dan tidak menyeluruh dengan pertuduhan yang dikenakan terhadap presiden Umno itu.

Susulan itu kata sumber, Asyraf bertemu peguam termasuk ketua-ketua Pemuda Umno negeri bagi membincangkan berkenaan kes berkenaan dan mendapatkan pandangan sebelum dibawa ke mesyuarat exco Pemuda Umno Malaysia.

“Penjelasan Asyraf jelas. Bagaimana kita hendak mempertahankan presiden jika Pemuda Umno sendiri tidak jelas dengan kes beliau? Presiden tidak memberi penjelasan yang jujur.

“Zahid sering ulang beliau menggunakan dana tersebut untuk tahfiz, surau, masjid, cetak al-Quran tetapi tidak pernah menjelaskan sumber sumbangan itu dan bagaimana ia digunakan sehingga beliau didakwa pecah amanah.

“Kita tidak boleh mengulangi kesilapan lalu, mempertahankan presiden tanpa mengetahui apa perkara sebenar yang terjadi,” katanya yang turut menghadiri pemukiman Pemuda Umno di Janda Baik.

Kedudukan Zahid sebagai presiden Umno menjadi perdebatan hangat selepas beliau didakwa dengan 45 pertuduhan melibatkan 10 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan menerima suapan lebih RM42 juta, dan 27 pertuduhan aktiviti pengubahan wang haram.

Kesemua pertuduhan itu melibatkan wang berjumlah RM114 juta, berkait dengan Yayasan Akal Budi yang beliau pengerusikan serta beberapa keputusan semasa menjadi menteri salam negeri ketika Barisan Nasional memerintah.

Menurut sumber, keadaan agak tegang di awal program pemukiman disebabkan perbezaan pendapat berhubung ketetapan pergerakan Pemuda itu.

“Selepas Asyraf memperincikan ketetapan yang dibuat oleh pergerakan Pemuda, majoriti Pemuda yang hadir mula faham dan menyokong keputusan yang telah dibuat,” katanya.

Pemukiman itu tetap dihadiri seramai 326 daripada sekitar 380 orang ketua dan naib ketua Pemuda bahagian Umno seluruh negara, walau wujud gesaan agar program itu diboikot.

Seruan untuk memboikot acara tersebut disuarakan Ketua Pemuda Umno Perak Mohd Ariff Abdul Majid sebagai tanda setiakawan dengan Zahid. – 30 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen