Hishammuddin patut kongsi maklumat tentang Jho Low dengan Putrajaya


Yasmin Ramlan

Bekas menteri pertahanan Hishammuddin Hussein baru-baru ini berkata beliau akan ke China atas kapasiti sendiri untuk menjejaki ahli perniagaan paling dikehendaki Jho Low bagi membantu siasatan skandal 1MDB. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Oktober, 2018.

BEKAS menteri pertahanan Hishammuddin Hussein sepatutnya berkongsi maklumat tentang ahli perniagaan Low Taek Jho dengan Putrajaya, bukannya pergi ke China atas kapasiti sendiri, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Azis Jamman.

Azis yang sependapat dengan Khairy Jamaluddin berkata ahli Parlimen Sembrong itu sepatutnya bekerjasama dengan kerajaan dalam mengesan Jho Low yang dikatakan melarikan diri ke China daripada pihak berkuasa Malaysia.

“Perkara yang terbaik untuk beliau lakukan adalah beri maklumat pada kementerian, tak payah dia nak ke sana.

“Pandangan saya, kalau dia ada maklumat pasal keberadaan Jho Low, bukankah lebih baik dia boleh datang dan tampil bagi maklumat pada pihak kita?

“Baik polis atau kementerian dan kita tahu bagaimana nak cari dia, di mana tempat mungkin maklumat tu dia ada..tak perlu ke sana, KJ pun cakap benda yang sama,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada Hishammuddin ada membincangkan tawarannya untuk mengesan Jho Low, dengan Kementerian Dalam Negeri.

Awal minggu ini, Hishamuddin berkata beliau akan mencari Jho Low atas kapasitinya sendiri di China dengan bantuan maklumat dari kenalannya sewaktu memegang jawatan menteri dalam pentadbiran Barisan Nasional.

Dua hari lalu, Khairy yang juga ahli Parlimen Rembau menyifatkan tindakan Hishammuddin mahu menjejaki Jho Low itu menarik, tetapi biarlah ia dilakukan kerajaan.

Khairy berkata usaha membawa pulang Jho Low yang menjadi suspek dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak seharusnya dibuat atas kapasiti peribadi.

Katanya, usaha tersebut sepatutnya melibatkan hubungan dua hala negara antara kerajaan Malaysia dan China. – 25 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen