PM Singapura akui isu HSR boleh jadi tegang


Perdana Menteri Lee Hsien Loong tidak menafikan isu projek HSR mampu menggugat hubungan antara kedua-dua negara jika ia tidak ditangani dengan betul. – Gambar EPA, 23 Oktober, 2018.

PERDANA Menteri Singapura, Lee Hsien Loong mengakui tindakan Putrajaya membatalkan dan kemudian menangguhkan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) mampu menggugat hubungan antara dua negara, lapor Straits Times.

“HSR adalah satu isu yang berpotensi, tetapi kita berjaya mendapatkan penangguhan selama dua tahun bagi projek HSR dan ini merupakan penyelesaian konstruktif yang berkemungkin mampu menjadi pertikaian yang tegang,” katanya.

Lee berkata, hubungan antara negara jirannya kini stabil dan beliau dijadualkan membuat lawatan ke Putrajaya untuk bertemu Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad bagi perjumpaan tahunan pemimpin pada tahun depan.

“Saya berharap pada perjumpaan nanti, kita akan dapat melihat ke depan, berbincang mengenai peluang ‘menang-menang’ untuk memperkukuhkan kerjasama dan persahabatan kita,” kata Lee pada sesi dialog baru-baru ini dengan warga Singapura.

Bulan lalu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali dan Menteri Pengangkutan Singapura, Khaw Boon Wan menandatangani surat tambahan yang membenarkan penangguhan projek HSR, yang asalnya dijangka siap pada 2026.

Pada Mei, tidak lama selepas mengambil alih kerajaan, Dr Mahathir menimbulkan perbalahan diplomatik apabila mengumumkan HSR akan dibatalkan tetapi kemudian menukar pendiriannya dengan menjelaskan Putrajaya akan berunding dengan Singapura untuk penangguhan.

Kuala Lumpur menganggarkan projek itu akan menelan belanja RM110 bilion.

Khaw mendedahkan di Parlimen pada Julai yang Singapura membelanjakan lebih S$250 juta (RM748 juta) untuk projek HSR, dan dijangka membelanjakan lebih kurang S$40 juta menjelang akhir tahun ini.

Laluan kereta api itu dijangka mengurangkan masa perjalanan antara Singapura dan KL dari empat jam dengan menaiki kereta kepada 90 minit.

Ia mempunyai lapan stesen: Stesen Jurong East di Singapura, dan di bahagian Malaysia - Stesen Bandar Malaysia, Sepang-Putrajaya, Seremban, Melaka, Muar, Batu Pahat dan Iskandar Puteri. – 23 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen