Isteri Zahid Hamidi mahu jelajah seluruh negara


Hamidah Khamis mahu berceramah di seluruh negara untuk mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap Umno. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 19 Oktober, 2018.

ISTERI kepada Zahid Hamidi, Hamidah Khamis mengumumkan akan mengadakan sesi jelajah ke seluruh negara untuk menangkis tuduhan dihadapi presiden Umno itu. 

Beliau menyatakan akan menyertai sesi jelajah itu bersama ahli Majlis Tertinggi Umno, Lokman Noor Adam bagi mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap parti.

“Sesi jelajah itu akan dilakukan dalam masa terdekat. Penjelasan perlu disampaikan kepada akar umbi, anak-anak bangsa terutama anak Melayu untuk tarik mereka ke jalan yang benar.

Jelajah itu untuk kembalikan keyakinan rakyat (kepada Umno) dan memberi kefahaman kepada sejarah. Budak sekarang tak dapat benda (sejarah) itu dan itu buat mereka leka,” katanya.

Dalam ucapan di hadapan lebih kurang 200 penyokong malam tadi, beliau turut mendakwa terdapat beberapa pemimpin Umno ditawarkan wang ringgit untuk keluar daripada Umno. 

“Difahamkan, (ahli Umno) dibeli dengan RM10 juta untuk masuk ke Pakatan Harapan (PH). Daripada mana (kerajaan) dapat duit itu?” katanya di luar Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dalam ucapannya, Hamidah berkata Umno tidak akan menerima invidu yang keluar parti dan mendapat kedudukan dalam Pakatan Harapan.

Penyokong berkenaan berhimpun untuk bersetiakawan dengan Ahmad Zahid yang ditahan malam tadi untuk diambil keterangan buat kali keenam, dan didakwa di mahkamah hari ini.

Presiden Umno itu mengaku tidak bersalah atas 45 pertuduhan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan jumlah RM114 juta. – 19 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • bagus la lokman ni dia mempercepatkan dumno ke kubur buat orang meluat sebab memperjuangkan hak hak orang atasan - kaki bodek nombor satu negara

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Teruna Kelana · Ulasan