Pindaan Akta Membaharui Undang-Undang tragedi kepada umat Islam, kata PAS


RUU164 disifatkan sebagai kekalahan besar terhadap kepentingan Islam dan kemenangan moral buat pembenci Islam di negara ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Ogos, 2017.

PAS menyifatkan kelulusan pindaan ke atas Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 di Dewan Rakyat pada awal pagi Khamis, satu tragedi malang bagi umat Islam di Malaysia.

Ahli jawatankuasa pusat PAS, Dr Riduan Mohd Noor berkata selain mewujudkan tanda tanya tentang status agama anak orang Islam yang lahir di bawah perkahwinan sivil, proses kelulusan pindaan itu seharusnya membuka mata rakyat hanya PAS sahaja yang boleh diharapkan untuk membela Islam.

Katanya, harapan itu tidak boleh disandarkan kepada  kerajaan Barisan Nasional dan tidak juga kepada parti-parti pembangkang yang lain kerana mereka “hanya menjadikan Islam sebagai bahan pelaris produk mereka sahaja.”

“Ketika sempit, Islam dijulang dan ketika ingin mencapai sesuatu, Islam dibuang! Bayangkan kalau mereka memerintah kelak, apa akan jadi kepada nasib umat Islam di negara ini?” katanya dalam satu kenyataan media.

Dewan Rakyat yang melanjutkan sidang pada Rabu sehingga awal pagi Khamis meluluskan rang undang-undang pindaan kontroversi itu selepas dibahaskan selama hampir 5 jam.

Barisan ahli Parlimen PAS yang diketuai oleh setiausaha agungnya Takiyudin Hassan bergulung lidah membantah cadangan pindaan itu namun ia akhirnya lulus juga.

“Kenapa tidak tarik semula, dan cari penyelesaian yang tepat dan membentangkannya sebaik sahaja kita ada (penyelesaian)?” hujah Takiyudin, ahli Parlimen Kota Bharu yang menuduh kerajaan terburu-buru membuat pindaan itu.

Beliau merujuk kepada kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman sebelum itu ada atau tidak pindaan tersebut tidak akan menyelesaikan masalah.

Azalina menegaskan kerajaan tidak terburu-buru.

Pindaan yang dibahaskan itu antara lain menyentuh hak pasangan suami atau isteri yang memeluk Islam untuk membubarkan perkahwinan dengan pasangan yang kekal bukan Islam di mahkamah sivil.

Kerajaan berharap pindaan ini akan menyelesaikan kes-kes yang sering terheret jadi konflik kerana beberapa keputusan mahkamah yang berbeza mengenai bidang kuasa sivil dan syariah berhubung kes melibat pasangan Muslim dan bukan Muslim.

Pindaan itu juga menyentuh soal tanggungan, hak penjagaan anak, pembahagian harta dan lain-lain pelepasan sampingan selepas pembubaran perkahwinan.

Namun Klausa 88A mengenai kedudukan agama anak selepas pembubaran perkahwinan jadi kontroversi. Kerajaan pada Selasa menarik balik cadangan pindaan yang memperuntukkan status agama anak kekal biarpun salah seorang atau kedua-dua ibu bapanya memeluk agama lain.

Jelas Azalina, kerajaan menarik balik cadangan pindaan dengan klausa itu kerana ia bertentangan dengan hak kebebasan beragama yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Riduan, pindaan yang diluluskan oleh Dewan Rakyat itu merupakan “kekalahan besar terhadap kepentingan Islam dan kemenangan moral buat pembenci Islam di negara ini.”

“Selepas ini, satu demi satu hak umat Islam terlucut, ditarik, ditukar dengan memberikan pelbagai kelebihan buat sesiapa untuk murtad, menukar agama, dan mengikis hak terutama penjagaan hak terhadap anak-anak,” katanya.

Katanya, ahli parlimen PAS sudah memainkan peranan jadi “benteng terakhir” mempertahankan kesucian Islam di negara ini serta tidak timbul soal ia pilih kasih dan menyokong Umno dan kerajaan Barisan Nasional.

“Bagi PAS, jika sesuatu perkara itu baik untuk Islam dan negara ini, sama ada kerajaan mahupun pembangkang, PAS akan menyokongnya. Sebaliknya, jika ia bertentangan dengan Islam dan rakyat di negara ini, tidak kira siapa yang mencadangkan usul ini, PAS tetap akan menentangnya,” katanya.

Jelas beliau, PAS menentang pindaan itu bukan sembrono dan bukan juga untuk modal politik sebaliknya kerana ia bertentangan dengan peruntukan undang-undang sedia ada yang menyatakan hal ehwal orang Islam hendaklah diputuskan oleh mahkamah syariah.

Beliau merujuk Seksyen 46 (2) Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 2003 dan Perkara 121 1A Perlembagaan Persekutuan.

Riduan juga kesal walaupun ada 141 ahli Parlimen beragama Islam, tidak ada suara yang membantah cadangan pindaan itu dan usaha PAS mengheret usul ke peringkat undi belah bahagi gagal kerana tidak cukup korum.

Katanya, PAS teguh mempertahankan prinsip Islamnya sementara ahli parlimen pembangkang “sanggup pula bersekongkol dengan Ahli Parlimen BN dalam meranapkan hak umat Islam di negara ini.”

Ahli Parlimen Pakatan Harapan bagaimanapun mendakwa kerajaan mengemukakan cadangan pindaan baru bagi menjaga hubungan dengan PAS dan mengekalkan undi Melayu.– 11 Ogos, 2017.

 


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen