Mana lagi saya nak pergi lepas ini, soal Indira Gandhi


Asila Jalil

SELEPAS terperangkap selama lapan tahun dalam pertikaian hak penjagaan anak yang memeritkan, Indira Gandhi kini berasa tertipu dengan janji kerajaan sebelum ini untuk memberinya keadilan.

Keputusan Putrajaya untuk menarik semula  pindaan ke atas Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) (Pindaan) 2016 (LRA).

“Berkali-kali saya ke mahkamah dan Parlimen, saya sudah berjumpa dengan ramai ahli Parlimen mengenai perkara ini, dengan harapan saya akan mendapat penyelesaian dan keadilan.

“Sudah lapan tahun, dan janji masih belum dipenuhi.

“Ini sangat menyedihkan. Apa yang perlu saya buat sekarang, di mana saya perlu mula? Apakah penyelesaian untuk orang seperti saya?” kata guru tadika itu kepada pemberita di bangunan Parlimen hari ini.

Isnin lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman Said mengumumkan yang RUU itu akan dibentangkan tanpa Klausa 88A.

Klausa 88A, yang menyatakan agama kanak-kanak itu hendaklah kekal dalam agama yang dibesarkan dalam sebelum salah seorang ibu atau bapa menukar agama, adalah tambahan baru kepada pindaan itu. 

Indira berkata beliau tidak berjumpa anak perempuannya yang diambil bekas suaminya sejak lapan tahun lalu.

“Tidak ada ibu patut hadapi apa yang sedang saya lalui,” katanya.

Cadangan pindaan terhadap LRA itu dirangka susulan beberapa perebutan hak penjagaan anak membabitkan ibu bapa beragama Islam dan bukan Islam, termasuk Indira dan bekas suaminya K. Pathmanathan yang sudah memeluk Islam.

Pathmanathan yang kini menggunakan nama Muhammad Riduan Abdullah menukar agama tiga anak mereka kepada Islam tanpa pengetahuan Indira dan diberikan hak jagaan anak oleh mahkamah syariah.

Tetapi satu lagi penghakiman dari Mahkamah Tinggi Ipoh memberikan hak jagaan kepada Indira, membangkitkan isu mengenai percanggahan bidang kuasa antara mahkamah sivil dan syariah di Malaysia.

Indira mendapat hak jagaan untuk dua anaknya sementara yang bongsu dirampas bekas suaminya.

Sementara itu, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata cadangan pindaan yang ditarik balik pada Isnin sepatutnya dikembalikan dalam RUU Pindaan LRA untuk melarang penukaran agama anak oleh ibu bapa secara sebelah pihak.

“Alasan diberikan Nazri hanya hendak mengelak daripada keputusan Kabinet BN pada 2009 untuk meminda LRA bagi menghalang pertukaran agama anak secara sebelah pihak.

“Klausa mengharamkan pertukaran agama anak bawah umur oleh ibu atau bapa perlu dikembalikan oleh RUU Pindaan LRA, dan mereka seperti Nazri yang tiba-tiba berkata peruntukan itu tidak mengikut perlembagaan perlu membenarkan mahkamah memutuskan sama ada ia berperlembagaan atau tidak,” katanya.

Nazri semalam berkata undang-undang menghentikan pertukaran agama anak secara sebelah pihak itu tidak berperlembagaan tanpa meminda Perlembagaan Persekutuan. – 9 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen