RUU perkahwinan dan perceraian diluluskan selepas 5 jam dibahas


Muzliza Mustafa

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Azalina Othman Said berkata klausa 88A yang dikeluarkan tidak akan menyelesaikan masalah pertukaran agama daripada satu pihak ibu bapa sahaja. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Ogos, 2017.

RANG Undang-undang (RUU) Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) (Pindaan) 2017 akhirnya diluluskan tanpa fasal 88A paling penting yang akan memberikan definisi lebih jelas terhadap agama seorang kanak-kanak yang terbabit dalam perceraian susulan salah seorang ibu atau bapa memeluk Islam.

Perdebatan yang bermula jam 8.30 malam berakhir hampir lima jam kemudian dengan 20 orang ahli Parlimen mengambil giliran membahaskan klausa dan pindaan termasuk klausa 88A yang ditarik balik daripada RUU tiga hari lalu.

Perdebatan itu dipengerusikan Timbalan Speaker Ronald Kiandee.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Azalina Othman yang sebelum ini dibelasah Ahli Parlimen PAS Kota Bahru Takiyuddin Hassan atas pendirian kerajaan yang mahu meneruskan RUU itu tanpa mengemukakan penyelesaian yang tepat kepada masalah dihadapi penganut bukan Islam mengenai isu penukaran agama secara unilateral.

Beliau sebelum ini mengakui dengan atau tanpa pindaan, ia tidak akan menyelesaikan masalah besar.

“Nampaknya kerajaan seperti sedang tergesa-gesa. Kenapa tidak tariknya semula, dan cari penyelesaian yang tepat dan membentangkannya sebaik sahaja kita ada? Anda mengatakan dengan atau tanpa pindaan ia tidak akan menyelesaikan masalah itu,” kata Takiyuddin.

Azalina menafikan kerajaan terburu-buru.

“Sekiranya kerajaan terburu-buru, kita tidak perlu membentangkan ini. Lebih baik kita tarik semula Akta 164 sehingga kita menemui jalan penyelesaian.

“Tetapi ini bukan sekadar isu Islam tetapi juga mengenai keluarga, hak anak bukan hanya soal pertukaran agama. Tetapi ini tidak bermakna kerajaan gagal. Kita harus menghormati dan mematuhi arahan peguam negara yang ia tidak mengikut Perlembagaan.

“Ini bukannya pengakhiran. Saya mengakui kita perlu mendalami lebih jauh. Ini adalah satu langkah untuk meneliti perkara itu secara holistik,” katanya.

Ketika timbalan speaker meminta undi untuk membawa polisi ke peringkat jawatankuasa, ahli Parlimen Kuala Nerus berdiri dan inginkan undi tidak berbelah bahagi.

Bagaimanapun ia ditolak kerana tiada bilangan mencukupi untuk menyokongnya. Mengikut prosedur, 15 diperlukan untuk mendapatkan undi tidak berbelah bagi usul dan menghentikan RUU itu daripada dipindahkan ke peringkat seterusnya.

Pindaan RUU akta perkahwinan ini menyentuh hak pasangan suami isteri yang memeluk Islam untuk membubarkan perkahwinan dengan orang bukan Islam di mahkamah sivil.

Ia juga memberi hak kepada individu membuat permohonan bagi pelepasan sampingan seperti tanggungan, hak penjagaan anak, pembahagian harta perkahwinan dan lain-lain.

Pindaan ini juga memberikan hak yang sama dalam persetujuan perkahwinan kepada ibu atau ibu angkat seseorang di bawah umur 21 tahun sebagaimana yang diberikan kepada bapa.

Ia turut menyentuh mengenai pindaan kepada Seksyen 95 bagi memanjangkan tempoh perintah tanggungan di mana seorang kanak-kanak melanjutkan pelajaran atau latihan pada peringkat lebih tinggi. – 10 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen