Keputusan tidak rasmi: Azmin dahului Rafizi di Selangor


Zaim Ibrahim

Ahli PKR keluar mengundi pada pemilihan parti yang berlangsung di Selangor hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 14 Oktober, 2018.

Keputusan tidak rasmi pemilihan PKR peringkat Selangor Fasa 1 bagi perebutan jawatan timbalan presiden menyaksikan Azmin Ali mendahului dengan 9,137 undi berbanding pencabarnya, Rafizi Ramli yang meraih  8,563 undi.

Azmin memenangi enam daripada sembilan cabang yang dipertandingkan hari ini dan jumlah keseluruhan pengundian bagi tujuh negeri setakat ini menyaksikan beliau mengumpul 28,249 undian untuk mengatasi Rafizi (27,772 undi).

Keputusan itu sekali gus bakal menguggat kedudukan Rafizi yang pertama kali mendahului Azmin dengan kelebihan 48 undi selepas pemilihan di Wilayah Persekutuan pada minggu lalu.

Bekas Ahli Parlimen Pandan itu dilaporkan menang di Wilayah Persekutuan dengan meraih 2,929 undi, sementara Azmin mendapat 2,794 undi.

Rafizi menang enam daripada tujuh cabang di KL antaranya Kepong, Segambut Setiawangsa dan Titiwangsa.

Pada proses pengundian Fasa 1 di Selangor hari ini, pemilihan dijalankan di sembilan cabang iaitu Sabak Bernam, Sungai Besar, Hulu Selangor, Serdang, Kelana Jaya, Subang, Kapar, Kota Raja dan Sepang yang mempunyai lebih 108,000 ahli layak mengundi. 

Memetik Twitter Pemilihan KEADILAN 2018, jumlah anggota yang turun mengundi sehingga jam 4 petang tadi adalah seramai 19,608 orang.

Selangor, dengan hampir 250,000 ahli, adalah negeri yang mempunyai ahli PKR paling ramai, membentuk lebih kurang 30% daripada keseluruhan lebih 841,000 ahli yang layak mengundi dalam pemilihan parti itu sejak 23 September lalu.

Kedudukan semasa perebutan jawatan timbalan presiden PKR antara Azmin Ali dan Rafizi Ramli. – Infografik The Malaysian Insight, 14 Oktober, 2018.

Pemilihan PKR Fasa 2 akan berlangsung di tujuh lagi cabang di Selangor pada Ahad depan sementara Fasa 3 akan melibatkan enam cabang pada 28 Oktober.

Bagi perebutan jawatan Ketua Pemuda PKR,  Dr Afif Bahardin yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Jaya memperolehi 1,876 undian untuk meninggalkan dua pesaingnya, Akmal Nasir yang memiliki 1,725 undi dan Najwan Halim (465 undi). 

Perebutan jawatan Ketua Wanita pula menunjukkan Haniza Talha mendahului Fuziah Salleh dengan 3,696 undian.

Kiraan awal di enam negeri yang mengundi setakat ini tidak termasuk Selangor menunjukkan Azmin yang merupakan Menteri Hal Ehwal Ekonomi menguasai Pulau Pinang dan Johor, sementara Rafizi mendahului di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Wilayah Persekutuan dengan kelebihan tipis.

Azmin Ali dilapor mendahului Rafizi Ramli pada pemilihan PKR Fasa 1 di Selangor hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Oktober, 2018.

Di Pulau Pinang, dari 13 cabang PKR menyaksikan Azmin menerima 3,326 undi menewaskan Rafizi yang memperoleh 3,150 undi, dipisahkan hanya 176 undi.

Azmin juga mengatasi Rafizi di Johor dengan 4,503 undian berbanding Rafizi (3,976).

Wilayah Persekutuan pula, Rafizi mendapat jumlah undian sebanyak 2,929 manakala Azmin, 2,749 undian.

Rafizi juga berjaya mengatasi Azmin Ali di Kelantan dan Terangganu.

Rafizi Ramli setakat ini menguasai pemilihan di Wilayah Persekutuan, Kelantan dan Terengganu bagi perebutan kerusi timbalan presiden PKR. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Oktober, 2018.

Di Kelantan, Rafizi meraih 5,211 undi sementara Azmin mendapat 4,922 undi dalam pemilihan di 14 cabang. 

Daripada lapan cabang di Terengganu, Rafizi mendapat 1,506 undi manakala Azmin mengumpul 1,269 undi.

Bagaimanapun, keputusan tersebut masih belum rasmi berikutan tidak meliputi undi ragu yang belum dikira termasuklah jumlah undian di Johor dan Pahang.

Selepas ini, sesi pemilihan PKR akan akan diteruskan di Melaka dan Negeri Sembilan pada 20 Oktober sementara 21 Oktober di Perlis. 

Kedah pula akan menghadapi dua hari pengundian iaitu, 26, 27 Oktober bersama Perak.

Sabah negeri kedua tertinggi memiliki ahli PKR akan mengadakan pengundian pada 3 dan 4 November manakala Sarawak jadi negeri terakhir iaitu pada 10 November.

Pemilihan PKR akan ditentukan dua negeri iaitu Selangor dan Sabah kerana menyumbang hampir 47% pengundi daripada 800,000 anggota.  – 14 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen