RAFIZI Ramli kini mendahului Mohamed Azmin Ali dalam persaingan jawatan timbalan presiden PKR selepas enam negeri selesai mengundi.
Keputusan tidak rasmi menunjukkan Rafizi buat pertama kali mengatasi Azmin dengan 48 undi, berdasarkan kiraan The Malaysian Insight, selepas pengundian dibuka sejak 23 September.
Selepas enam negeri mengundi, Rafizi mendapat 19,160 undi sementara Azmin memperolehi 19,112.
Bekas Ahli Parlimen Pandan itu dilaporkan menang di Wilayah Persekutuan yang mengundi hari ini dengan meraih 2929 undi, sementara Azmin mendapat 2794 undi.
Rafizi menang 7 daripada 6 cabang di KL antaranya Kepong, Segambut Setiawangsa dan Titiwangsa.
Jumlah keseluruhan undi itu bagaimanapun belum dimuktamadkan oleh JPP kerana belum mengambil kira undi ragu.
Undi ragu merupakan undi yang diasingkan JPP kerana nama pengundi tiada dalam senarai dalam mengambil masa beberapa hari untuk disahkan.
Selepas ini, PKR akan mengadakan pemilihan di Melaka dan Negeri Sembilan pada 20 Oktober sementara 21 Oktober di Perlis.
Kedah pula akan menghadapi dua hari pengundian iaitu, 26, 27 Oktober bersama Perak.
Negeri Selangor yang mempunyai anggota tertinggi akan diadakan pada 14, 21, 28 Oktober.
Sabah negeri kedua tertinggi akan mengadakan pengundian pada 3 dan 4 November manakala Sarawak jadi negeri terakhir iaitu pada 10 November.
Pemilihan PKR akan ditentukan dua negeri iaitu Selangor dan Sabah kerana menyumbang hampir 47% pengundi daripada 800,000 anggota. – 7 Oktober, 2018.

Komen