RAFIZI Ramli mendahului Mohamed Azmin Ali dalam pemilihan PKR bagi jawatan timbalan presiden di Kelantan dan Terengganu yang mengundi hari ini, kata pegawai jawatankuasa pemilihan parti.
Di Kelantan, Rafizi meraih 5,211 undi sementara Azmin mendapat 4,922 undi dalam pemilihan di 14 cabang.
Daripada lapan cabang di Terengganu, Rafizi mendapat 1,506 undi manakala Azmin mengumpul 1,269 undi.
Timbalan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Dr Adzman Hedra bagaimanapun berkata, sama seperti di Johor, keputusan tersebut masih belum rasmi kerana tidak meliputi undi ragu yang masih belum dikira.
“Kita masih ada undi ragu. Maka keputusan mungkin akan bertukar sedikit selepas pengiraan undi ragu.
“Apapun, pemilihan kali ini sangat berjalan lancar setelah kita perbaiki kelemahan di Pulau Pinang dan Johor. Keadaan dapat dikawal,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Ditanya tentang jumlah undi ragu di Kelantan dan Terengganu, Adzman berkata ia belum dapat dipastikan lagi.
JPP sebelum ini mengesahkan ada lebih kurang 1,100 undi ragu daripada pengundian di Johor minggu lalu.
Tanpa mengambil kira undi ragu, selepas pemilihan di empat negeri, termasuk Pulau Pinang, Azmin kini mengumpul 14,020 undi berbanding Rafizi 13,845.
Undi dari 13 cabang PKR di Pulau Pinang sebelum ini memberi 3,326 undi kepada Azmin, menewaskan Rafizi yang memperoleh 3,150 undi, dipisahkan hanya 176 undi.

Sementara itu, Rafizi dalam satu kenyataan bagaimanapun mendakwa keputusan di empat negeri setakat ini menunjukkan trend beliau mendahului dari segi cabang dan undi yang menyokongnya.
“Perbezaan undi saya dan saingan Saudara Azmin hanyalah 177 undi dari lebih 28,000 anggota yang telah mengundi di 4 buah negeri; iaitu perbezaan 0.6% sahaja,” katanya dalam kenyataan media malam ini.
Dalam pada itu, bagi pemilihan jawatan naib presiden, Nurul Izzah Anwar, Zuraida Kamaruddin, Johari Abdul dan Shamsul Iskandar mendahului empat teratas di Kelantan.
Izzah, Zuraida dan Johari turut mendapat undi tertinggi di Terengganu, bersama Pengerusi PKR Terengganu Azan Ismail.
Pemilihan PKR akan diteruskan pada Sabtu di Pahang dan Wilayah Persekutuan pada Ahad. – 5 Oktober, 2018.
Komen