PENYANDANG jawatan Timbalan Presiden PKR Mohamad Azmin Ali memenangi pemilihan parti itu di Pulau Pinang, sekali gus mengenepikan cabaran pesaingnya, Rafizi Ramli di kubu kuat bakal presiden PKR Anwar Ibrahim.
Ahli PKR di Kedah dan Pulau Pinang antara yang terawal mengundi pada pemilihan parti menggunakan sistem e-voting semalam.
Namun disebabkan beberapa masalah dan isu, keputusan di Kedah diisytiharkan tidak sah oleh Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) tetapi mengekalkan keputusan di Pulau Pinang.
Berdasarkan keputusan undi dari 13 cabang PKR di Pulau Pinang, Azmin menerima 3,326 undi, menewaskan Rafizi yang memperoleh 3,150 undi, dipisahkan hanya 176 undi.
Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi, memenangi undian lebih daripada Rafizi di lapan cabang iaitu di Kepala Batas, Batu Kawan, Nibong Tebal, Bukit Bendera, Tanjong, Jelutong, Bayan Baru dan Bukit Mertajam.
Kemenangan terbesar Azmin dicatatkan di Batu Kawan dengan memperoleh 532 undi berbanding Rafizi, hanya 161 undian sahaja.
Namun Rafizi menewaskan Azmin di Permatang Pauh, Bagan, Tasek Gelugor, Bukit Gelugor dan Balik Pulau.

Penyandang naib presiden PKR itu memperoleh undi terbanyak di Balik Pulau dengan 596 undi berbanding Azmin yang mendapat hanya 200 undi.
Kemenangan paling bermakna pastinya di cabang Permatang Pauh yang merupakan kubu kuat Anwar dan cabang itu kini diterajui oleh anak bakal presiden itu, Nurul Izzah yang turut bertanding bagi mempertahankan jawatan naib presiden.
Beliau dilihat akan digandingkan dengan Rafizi.
Sesi pemilihan di Pulau Pinang turut menunjukkan keputusan yang baik buat penyandang timbalan ketua Pemuda PKR Dr Afif Bahardin yang bergandingan dengan Azmin.
Dr Afif yang bertanding untuk jawatan ketua Pemuda, menerima 802 undi, mengatasi lawannya, Akmal Nasrullah Nasir (575) dan Mohd Najwan Halimi (163).
Ahli Dewan Undangan Negeri Seberang Jaya dan exco kesihatan itu menewaskan pesaingnya di Bukit Mertajam, Kepala Batas, Batu Kawan, Nibong Tebal, Tanjong, Jelutong, Bukit Gelugor, Bayan Baru dan Balik Pulau.
Beliau dan pencabar terdekat, Akmal yang merupakan ahli Parlimen Johor Bahru, mencatat keputusan seri di Permatang Pauh.
Pemilihan PKR kali ini dianggap sengit ekoran pertembungan antara kem Azmin dan Rafizi.
Sejak awal kempen, Rafizi dan penyokongnya menuduh Azmin menjadi boneka bekas menteri kewangan Daim Zainuddin dan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk menggagalkan impian Anwar menjadi perdana menteri.
Bagaimanapun keputusan Pulau Pinang tidak menggembirakan sejumlah ahli parti yang meminta keputusan pemilihan itu dibatalkan. – 23 September, 2018.
Komen