LIMA bulan menjadi pemerintah, beberapa menteri Pakatan Harapan (PH) masih belajar bagaimana hendak memberikan komen dan menghadapi kesan daripada kenyataan yang mereka buat daripada pelbagai lapisan masyarakat, terutamanya apabila kenyataan itu melibatkan sensitiviti agama dan kaum.
Dakwaan dua menteri persekutuan baru-baru ini yang mereka disalah petik oleh media menyusul beberapa penafian yang hampir sama oleh anggota Kabinet lain yang baru dilantik.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof Rawa barangkali menteri yang paling banyak mendakwa beliau disalah petik atau disalah lapor.
Mujahid sekali lagi menjadi tumpuan apabila mendakwa akhbar The Star mengada-adakan laporan daripada wawancaranya dengan akhbar itu minggu lalu.
The Star melaporkan Muhajid yang memegang portfolio agama berkata serbuan ke atas kes khalwat atau “tiada lagi ketukan pintu pada waktu tengah malam oleh pihak berkuasa agama”.
Akhbar itu sudah membuat penjelasan dan kesal dengan laporan berkenaan.
Mujahid dalam wawancara itu dipetik berkata sesetengah tindakan oleh pihak berkuasa agama tidak mencerminkan nilai-nilai Islam.
Bagaimanapun dalam satu wawancara dengan TV Alhijrah mengenai laporan The Star itu, Mujahid menafikan kenyataan itu dan menuduh editor akhbar “mengambil rumusan mereka sendiri daripada kenyataan-kenyataan saya.”
Laporan akhbar itu mencetuskan perbahasan hangat tentang tindakan pihak berkuasa agama dalam kalangan golongan konservatif Islam, pemimpin agama, badan masyarakat dan ahli politik.
Pegawai Mujahid memberi tempoh 24 jam kepada akhbar itu untuk meminta maaf atau “tindakan lebih tegas akan diambil”.
Ogos lalu, Mujahid mencetuskan kekecohan dalam kalangan pejuang hak seksual golongan minoriti dan mereka yang simpati kepada penindasan yang dialami apabila mengarahkan potret dua aktivis diturunkan daripada sebuah pameran fotografi di Pulau Pinang.
Beliau mengesahkan dua potret itu diturunkan atas arahannya kerana, awalnya beliau berkata, “promosi” lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) bertentangan dengan dasar kerajaan PH.
Kemudiannya, beliau berkata pameran potret itu boleh sekiranya mereka tidak dilabelkan sebagai “alktivis LGBT”. Beliau juga berkata potret itu dikeluarkan untuk menjaga keselamatan golongan transgender daripada dikecam.

Seorang lagi anggota Kabinet baru, Menteri Kerja Raya Baru Bian juga mendakwa beliau disalah lapor apabila minggu lalu menyelar portal berita Malaysiakini kerana salah tafsir kenyataannya mengenai keputusan untuk memansuhkan tol.
“Saya dipetik berkata keputusan untuk mansuhkan tol di Semenanjung akan dibuat dalam masa dua tiga bulan lagi,” katanya kepada wartawan di Kuching, awal minggu ini.
“Tol belum lagi akan dimansuhkan kerana kedudukan kewangan negara tidak mengizinkan,” katanya, menjelaskan laporan itu.
“Apa yang saya kata dan maksudkan ialah dalam tempoh dua tiga bulan ini kerajaan akan mencari alternatif untuk mengurangkan kesan tol,” katanya.
Beliau menambah laporan Malaysiakini itu menyebabkan pegawai di Kementerian Kewangan menjadi kelam kabut.
Dua menteri ini tidak sama dengan anggota Kabinet pertama yang menyalahkan laporan media sejak kerajaan baru ini mengambil alih Putrajaya selepas pilihan raya umum 9 Mei lalu.
Pada Julai, hanya beberapa bulan selepas dilantik sebagai Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran berasa penangan kuasa media apabila kekecohan timbul daripada laporan akhbar milik Umno, Utusan Malaysia yang mendakwa beliau menggelar orang Melayu sebagai pendatang di Semenanjung. Katanya, orang Hindu sudah lebih awal ada di negara ini.
Kulasegaran mendakwa ucapannya dalam bahasa Tamil di sebuah majlis di Seremban difahami di luar konteks.
Beliau menuduh Utusan Malaysia menyelewengkan pandangannya tentang sejarah Malaysia “untuk mencetuskan ketegangan kaum”.
Beliau bagaimanapun meminta maaf atas kekecohan yang berlaku.
Kula juga antara menteri yang awal terpaksa menarik balik kenyataannya pada Jun selepas mencetuskan panik di kalangan pemilik restoran.
Beliau sebelum itu mengumumkan semua restoran yang menghidang makanan Malaysia hanya boleh mengupah tukang masak tempatan mulai 1 Januari tahun depan.
Kenyataannya dibidas. Beliau dituduh perkauman di media sosial. Kula kemudian menjelaskan kenyataannya itu hanya cadangan.
Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang juga menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat juga terkenal dengan “penjelasan” beberapa kenyataannya yang dipersoalkan, terutama dalam isu sensitif perkahwinan kanak-kanak.
Menjawab pertanyaan wartawan mengenai kes kedua perkahwinan yang diketahui tahun ini melibatkan remaja 15 tahun, Wan Azizah dilaporkan berkata kerajaan tiada kuasa untuk ambil tindakan kerana remaja itu “setuju dikahwinkan” dengan lelaki berumur 44 tahun.
Komennya itu dan beberapa komen yang lain membangkitkan kemarahan dan kritikan daripada aktivis hak asasi manusia yang mendakwa kerajaan tiada komitmen untuk menaikkan had umur perkahwinan, tanpa sebarang pengecualian, kepada 18 tahun.
Wan Azizah menjawab beliau “menentang perkahwinan kanak-kanak dan tidak menyetujuinya”.
Kata beliau, kenyataan awalnya itu “hanyalah kenyataan seperti yang dijelaskan oleh remaja itu kepada pegawai saya.”
Kementeriannya kemudian mengeluarkan satu kenyataan bertulis untuk mengesahkan pendirian beliau terhadap perkahwinan kanak-kanak dan menjelaskan langkah-langkah yang sedang diambil untuk menanganinya.
Sama ada betul-betul disalah petik atau hanya salah faham, menteri-menteri PH yang pertama kali memegang jawatan perlu cepat-cepat menyesuaikan diri dengan hakikat bahawa kenyataan mereka mencerminkan dasar kerajaan dan memberi kesan kepada rakyat.
Sikap terus terang mereka itu sesuatu yang dialu-alukan tetapi ia mesti juga difahami dengan realiti bahawa kata-kata mereka boleh ditafsir berlainan oleh media yang mencari scoop dan cenderung melapor dengan sensasi. – 10 Oktober, 2018.
Komen