Kerajaan siapkan cadangan naikkan had umur layak kahwin, kata Wan Azizah


Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail berata kertas cadangan itu akan diangkat kepada Jemaah Menteri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 September, 2018

KERAJAAN sedang menyiapkan kertas cadangan untuk menaikkan had umur layak kahwin kepada 18 tahun bagi orang Islam dan bukan Islam, kata Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Satu kertas disiapkan untuk diangkat kepada Jemaah Menteri menyentuh had umur layak kahwin bagi orang bukan Islam, manakala satu kertas berasingan akan dibawa ke Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri melibatkan perkahwinan orang Islam, katanya.

“Langkah Selangor menaikkan umur minimum untuk berkahwin kepada 18 tahun mesti dicontohi oleh negeri-negeri lain,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau yang juga Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat berkata bagi perkahwinan di bawah hukum adat, ketua adat akan dimaklumkan kenapa had umur minimum mustahak.

Keputusan itu dicapai hasil perbincangan yang beliau pengerusikan dengan pemegang taruh pada 13 September lepas.

 

Bagaimanapun Dr Wan Azizah mengingatkan pindaan undang-undang bukan jalan penyelesaian kepada masalah perkahwinan bawah umur.

“Satu pendekatan holistik diperlukan merangkumi pendidikan, jaringan kebajikan, pembasmian kemiskinan dan sistem sokongan,” katanya.

Sementara menunggu proses pindaan itu, pihak kementerian akan berbincang dengan Jabatan Kehakiman Syariah untuk memperketatkan kelulusan perkahwinan kanak-kanak oleh mahkamah syariah.

Dr Wan Azizah juga berkata beliau sudah berbincang dengan menteri hal ehwal agama Mujahid Yusof Rawa dan menteri hal ehwal undang-undang VK Liew untuk melihat isu kelompongan dan perbezaan antara undang-undang sivil dan syariah.

“Perlindungan dan hak kanak-kanak sangat mustahak bagi saya dan saya tidak akan bertolak ansur dalam hal ini,” katanya.

Dr Wan Azizah membuat kenyataan ini selepas dikritik hebat oleh pelbagai berhubung komennya yang dilihat menyokong perkahwinan bawah umur.

Mengulas kes terbaru remaja 15 tahun berkahwin dengan duda anak dua berumur 44 tahun di Kelantan, Dr Wan Azizah berkata perkahwinan itu suka sama suka.

Beliau bagaimanapun dalam komennya yang sama menegaskan kerajaan tetap meneruskan usaha menaikkan umur perkahwinan kepada 18 tahun.

Dr Wan Azizah menjelaskan kenyataannya itu merujuk pada laporan yang disediakan oleh Jabatan Kebajikan. Laporan itu menyebut perkahwinan tersebut sah mengikut undang-undang yang ada.

“Saya ingin menegaskan bahawa saya menentang perkahwinan kanak-kanak dan tidak menyetujuinya.

“Apa yang saya cakap hanyakan kenyataan seperti yang dijelaskan oleh remaja itu kepada pegawai saya,” katanya. – 21 September, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen