Grab dan Uber bukan peluang pekerjaan baru


Zaidel Baharuddin

ALHAMDULILLAH kini amat mudah untuk saya bergerak ke sana ke mari di dalam kawasan Lembah Klang dengan adanya dua aplikasi perkongsian kenderaan yakni Grab dan Uber. Tinggal sudah zaman sewaktu saya akan bergaduh dengan pemandu teksi yang enggan menggunakan meter dan sesuka hati menetapkan harga.

Pada mulanya, saya mendapati kebanyakan mereka yang memandu Grab atau Uber ini adalah mereka yang memerlukan pendapatan sambilan, sama ada perlu kerja lebih masa untuk membayar hutang kad kredit, bayaran bulanan PTPTN ataupun mereka yang mempunyai pekerjaan tetap tetapi tidak mengikut waktu pejabat seperti penjual insurans atau perekabentuk grafik. Namun, kebelakangan ini saya merasa sedikit gusar apabila semakin ramai pemandu yang bertugas pada waktu-waktu pejabat pada hari bekerja, kerana ini menandakan bahawa mereka melakukan kerja ini sepenuh masa, dan sepatutnya ianya tidak begitu.

Nilai tambah

Sebab utama mengapa Grab dan Uber ini boleh menawarkan tambang yang jauh lebih murah berbanding teksi termasuk promosi-promosi menarik ialah kerana sistem ini mengambil peluang penjanaan pendapatan pada kenderaan-kenderaan yang sebelum ini hanya dilihat sebagai satu liabiliti.

Apabila kita membeli satu-satu kenderaan persendirian, sememangnya kita tidak menjangkakan untuk ianya menjana sebarang pendapatan melainkan sebagai satu kemudahan untuk kita bergerak. Dengan sistem aplikasi perkongsian kenderaan ini, kita dapat mengambil peluang untuk mengurangkan kos bulanan kenderaan dengan menjana pendapatan pada waktu-waktu ianya tidak digunakan oleh pemilik kenderaan.

Tidak seperti teksi atau kereta sewa yang perlu menampung kos-kos seperti kos pembelian kenderaan, yuran permit tahunan dan lesen istimewa serta upah pemandu teksi itu sendiri, pemandu Uber dan Grab sememangnya sudah memiliki kenderaan sendiri dan tidak mempunyai tanggungan yang sama dengan pemandu teksi sepenuh masa.

Pendapatan Utama

Namun apabila saya melihat beberapa inisiatif yang diperkenalkan, termasuk penawaran pinjaman sewa beli kenderaan untuk Uber dan Grab ini, terdetik di hati saya bahawa bukankah ini bercanggah dengan hasrat asal penubuhan aplikasi perkongsian kenderaan ini?

Sebab utama mengapa mereka dapat menawarkan kadar tambang yang baik beserta menarik minat begitu ramai pemandu ialah kerana mereka memanfaatkan aset yang sedia ada (yakni kenderaan persendirian) untuk menjana pendapatan. Sekiranya ianya diubah menjadi punca pendapatan utama sepenuh masa, adakah pemandu-pemandu ini sedar akan kos sebenar untuk beroperasi? Sebelum ini kiraan mereka hanyalah berdasarkan kos yang hampir kosong kerana memandu atau tidak, bayaran pinjaman bulanan tetap perlu dibayar, tetapi kalau pinjaman diambil khusus untuk memandu Grab dan Uber, kos pinjaman, penyelenggaraan dan masa yang dilabur juga perlu diambil kira yang sebelum ini hanyalah dianggap sebagai kos lepas.

Mikro ekonomi

Selain dari jumlah pemandu yang bertugas sepenuh masa, apa yang sedikit merisaukan saya ialah umur mereka yang semakin muda. Rata-rata peningkatan jumlah pemandu muda lepasan universiti yang menjalankan perniagaan ini secara sepenuh masa bukanlah sesuatu yang patut digalakkan.

Mereka berada pada umur produktiviti yang tinggi dan permulaan kepada kerjaya mereka berdasarkan apa yang mereka belajar di universiti. Sekiranya seorang graduan perniagaan atau teknikal itu memandu Grab atau Uber sepenuh masa, ini bermakna amat sukar untuk mereka mendapat pekerjaan pertama atau pekerjaan yang tetap untuk jangka masa panjang.

Selain dari menjadi petunjuk mengenai kelembapan sektor kerja, ia juga memberi kesan kepada produktiviti dan peningkatan kemahiran pekerja muda kita kerana mereka sukar untuk menimba pengalaman di dalam industri yang mereka ceburi.

Saya kurang bersetuju dengan langkah pihak-pihak tertentu yang mahu menawarkan skim khusus seperti pinjaman sewa beli istimewa untuk memandu Grab atau Uber kerana ianya bukanlah satu industri yang dapat menawarkan pendapatan jangka masa panjang, apatah lagi membina atau meningkatkan kemahiran mana-mana individu yang seterusnya meningkatkan daya saing mereka di dalam pasaran kerja.

Bukan sektor baru

Adakah memandu Grab dan Uber itu sesuatu yang tidak baik? Sudah pasti tidak, ianya merupakan satu inovasi yang amat berkesan serta membantu ribuan individu dalam menambah pendapatan. Namun, janganlah kita dengan mudahnya terperangkap dengan paradigma pemikiran bahawa ini merupakan satu industri baru yang akan dapat melahirkan peluang pekerjaan setara pengan industri pengilangan, sektor perbankan atau sektor perkhidmatan yang baru.

Kejayaan aplikasi ini asasnya datang dari mengambil insiatif untuk merealisasikan penjanaan pendapatan ke atas satu aset yang sebelum ini tidak aktif, dan ianya lebih berbentuk pelengkap kepada kelemahan sistem pengangkutan awam.

Walaupun kita sememangnya mahu mengorak langkah ke dalam ekonomi digital yang baru, namun harus kita ingat seringkali ekonomi digital ini ialah pelengkap kepada asas ekonomi yang sedia ada.

Ianya tidak wajar dilihat dalam ruang lingkup asas ekonomi yang biasa kerana walaupun ianya menjana pendapatan kepada sektor tertentu, menyediakan perkhidmatan serta membuka sebahagian dari peluang pekerjaan, ini bukanlah permulaaan suatu industri yang baharu.

Saya kira satu kesilapan besar sekiranya pembuat dasar melihat ini sebagai salah satu asas kepada pertumbuhan ekonomi Negara. Kita seharusnya menggalakkan anak muda kita membina, mereka bentuk, meningkatkan kemahiran atau mengambil inisiatif dalam penemuan baru dan bukannya menggalakkan mereka untuk menggantikan pemandu teksi yang rata-rata sebelum ini diisi oleh mereka yang telah pencen. – 10 Ogos, 2017.

*

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen