PRESIDEN Umno Ahmad Zahid Hamidi dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk soal siasat Rabu ini.
Menurut Ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam, bekas timbalan perdana menteri itu diberikan notis supaya hadir pada jam 10 pagi Rabu di ibu pejabat SPRM di Putrajaya.
Julai lalu, Zahid disoal SPRM selama dua hari untuk membantu siasatan berkaitan dakwaan penyelewengan sebuah yayasan diuruskan keluarganya.
Beliau didakwa menggunakan RM800,000 wang Yayasan Akal Budi untuk membayar bil kredit kadnya dan isteri.
Masih belum diketahui sama ada panggilan SPRM terbaru ini adalah siasatan kes sama atau berkaitan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Sebelum ini dilaporkan yang pihak berkuasa sudah mula menyiasat pemimpin dan ketua bahagian Umno yang dipercayai menerima wang rompakan 1MDB.
Lokman dalam kenyataan hari ini menggesa ahli parti hadir ke ibu pejabat SPRM Rabu ini untuk memberikan sokongan kepada Zahid.
“Ayuh kita sama-sama hadir mempertahankan presiden kita yang kini menjadi sasaran regim zalim (Dr) Mahathir (dan) DAP,” katanya.
Beliau juga berkata Zahid mungkin ditahan Rabu ini dalam plot Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk melemahkan Umno. – 8 Oktober, 2018.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Ebrahim Mohideen · Ulasan