Zahid tiba di SPRM untuk beri keterangan hari kedua


Muzliza Mustafa

Bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi melambai kepada wakil media yang sedia menanti ketibaannya di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Putrajaya, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 3 Julai, 2018.

BEKAS timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi tiba di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya pada pukul 9.53 pagi tadi untuk membantu siasatan mengenai penyalahgunaan wang melibatkan yayasan amal yang dikendalikan oleh keluarganya.

Beliau didakwa menggunakan dana Yayasan Akal Budi sebanyak RM800,000 untuk membayar bil kad kreditnya dan isteri.

Ini adalah hari kedua presiden baru yang dipilih Umno itu memberi kenyataannya di sini. Beliau menghabiskan masa sembilan jam di pejabat agensi anti-rasuah semalam bagi membantu siasatan mengenai dana firma pelaburan negara bermasalah, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Terdahulu, bekas pengerusi Felda, Shahrir Samad dilihat di ibu pejabat SPRM pada jam 9.40 pagi.

Shahrir, berkemeja putih dan seluar hitam, memberitahu media beliau hadir untuk direkodkan kenyataannya berhubung penerimaan dana.

Beliau enggan mendedahkan sama ada dana itu dikaitkan dengan 1MDB atau Felda.

Hari ini, Zahid kelihatan ceria walaupun seharian disoal oleh agensi anti-rasuah berhubung wakil kerajaan Arab Saudi yang didakwa mendermakan RM2.6 bilion kepada bekas perdana menteri Najib Razak.

Pasukan petugas khas 1MDB juga berkata, sejumlah 408 akaun bank milik 81 individu dan 55 syarikat yang berjumlah RM1.1 bilion dibekukan oleh SPRM berkaitan dengan siasatan 1MDB sejak akhir Mei. – 3 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen