Sirul mungkin ditahan selama-lamanya di Australia, lapor media


Sirul Azhar Umar disabitkan bersalah atas tuduhan menculik dan membunuh warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu, dan melarikan diri ke Australia pada 2014. – Gambar AFP, 9 Ogos, 2017.

BEKAS pengawal Perdana Menteri Najib Razak, yang disabitkan bersalah atas tuduhan menculik dan membunuh Altantuya Shaariibuu, diberikan tempoh sehingga Isnin ini untuk meyakinkan pihak berkuasa Australia dia layak untuk diberikan visa perlindungan, lapor The Australian.

Sirul Azhar Umar, 46, pada 31 Julai menerima sepucuk surat dari Jabatan Imigresen dan Perlindungan Sempadan negara itu yang menyatakan permohonannya mungkin akan ditolak kerana dia terlibat dalam jenayah bukan politik sebelum masuk ke Australia pada Oktober 2014.

Bekas koperal polis itu melarikan diri ke Brisbane ketika Mahkamah Persekutuan menimbangkan rayuan pihak pendakwa berhubung pembebasannya selepas Mahkamah Rayuan mengetepikan sabitan yang dibuat Mahkamah Tinggi.

Dia ditahan pihak berkuasa imigresen Australia dan dihantar ke Pusat Tahanan Villawood pada Januari 2015, beberapa hari selepas sabitannya dikekalkan Mahkamah Persekutuan.

Laporan eksklusif akhbar itu menyebut kerajaan Malaysia beberapa kali menyatakan akan memohon perintah ekstradisi terhadap Sirul, namun masih belum berbuat demikian.

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi awal tahun ini menolak kemungkinan untuk Malaysia berunding mendapatkan ekstradisi dari Australia kerana undang-undang negara itu melarang pengusiran seseorang yang boleh dihukum mati.

Menurut The Australian jika Sirul kekal ditahan di Australia, penahanannya akan ditanggung dengan duit rakyat negara itu yang boleh mencecah sehingga A$239,000 (RM808,000) setahun.

Altantuya diculik oleh Sirul dan seorang lagi anggota polis, Cif Inspektor Azilah Hadri di luar kediaman penganalisis politik Abdul Razak Baginda, yang ketika itu penasihat kepada Najib semasa beliau jadi menteri pertahanan, sebelum dibunuh dekat Shah Alam. – 9 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen