Politik tanpa Akta Lompat Parti


Awang Azman Awang Pawi

APABILA Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap ahlinya yang “lompat parti” dan menjadi wakil rakyat bebas selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), maka berlakulah debat politik mengenainya,

Langkah ini ternyata langkah politik ketika Umno berada pada tahap terendah selepas tewas dalam pilihan raya umum. Pimpinan Umno berasa perlu untuk menyekat tindakan ini daripada terus berlaku.  Sekiranya berterusan, bilangan ahli Parlimennya akan tinggal tiga empat kerat, sebagaimana amaran Azmin Ali terhadap pimpinan Umno.

Sejak Ahli Parlimen Jeli Mustapa Mohamed menjadi wakil bebas ia dikatakan melunturkan semangat akar umbi Umno dan pimpinan mereka. Ini kerana Tok Pa dikenali sebagai ahli politik yang “lurus”, “bersih” malah mendapat undi tertinggi dalam pemilihan ahli Majlis Tertinggi Umno baru-baru ini.

Sejak itu, pelbagai spekulasi kedengaran kononnya ahli Parlimen Umno akan beramai-ramai mengumumkan keluar parti jadi wakil rakyat bebas dan menunggu masa sesuai untuk menyertai Bersatu.

Saman mahkamah sebagai alasan untuk menghormati suara ahli parti yang berasa dikhianati bukanlah alasan terbaik. Ini kerana Perikatan atau Barisan Nasional kemudiannya banyak mengorkestrakan langkah lompat parti sejak pilihan raya umum 1959 lagi. Paling kontemporari adalah isu lompat parti di Perak pada tahun 2009. Peristiwa ini tidak mungkin dilupakan oleh rakyat dan Pakatan Harapan.

Kadang kala pimpinan Umno seakan-akan dilanda ingatan.  Mereka lupa lupa akan tindak tanduk yang pernah mereka lakukan.

Langkah ke belakang?

Lompat parti dikenali sebagai crossing the floor dalam sistem politik UK. Dalam sistem Westminster Parlimen, konsep ini berlaku apabila ahli politik bertukar kesetiaan, atau mengundi menentang parti sendiri dalam sidang Parlimen. Yang popular ialah bertukar ke parti lain selepas menang melalui parti asal.

Sepanjang pengetahuan penulis hanya beberapa buah negara di dunia mempunyai akta lompat parti, antaranya Maldives dan Bangladesh.

Di Kanada undang-undang lompat parti diperkenalkan sejak tahun 2006.  Namun pada bulan Mac tahun ini, mahkamah memutuskan tindakan lompat parti tidak melanggar undang-undang. Sebelum itu, undang-undang ini menetapkan seseorang calon itu perlu menjadi wakil bebas sehingga pilihan raya umum baru, atau perlu meletak jawatan dan mengadakan pilihan raya kecil dengan logo parti lain.

Dalam keputusan tersebut mahkamah memutuskan pihak legislatif mempunyai hak untuk menetapkan undang-undang mereka sendiri akan tetapi mahkamah tidak boleh campur tangan. Undang-undang lompat parti dianggap dasar awam yang buruk dan mahkamah tidak sepatutnya menjadi penentu dalam hal tersebut. Ini merupakan satu bentuk kebebasan Parlimen dan sekiranya mahkamah bertindak terhadap penggubal undang-undang maka ia dianggap mengganggu proses pengasingan kuasa.

Walaupun mahkamah menyebelahi ahli politik yang melompat parti, iaitu Steven Fletcher, namun masa depan beliau dalam politik pudar. Selepas itu beliau tidak dibenarkan bertanding menggunakan logo parti baru yang disertai. Dari satu segi, jelas yang melompat parti itu mempunyai risiko politik.

Di Malaysia, Mahkamah Agung pada April 1992 memutuskan bahawa undang-undang yang mewajibkan seseorang anggota dewan yang bertukar parti perlu mengosongkan kerusi bercanggah dengan kebebasan berpersatuan yang diperuntukkan di bawah Perkara 10(1) Perlembagaan Persekutuan.

Kes ini dikendalikan oleh Hakim Abdul Hamid Omar. Kes ini memberikan implikasi politik kepada mana-mana pimpinan parti politik yang berhasrat mahu membuat undang-undang lompat parti. Hakim menggunakan rujukan kes yang berlaku di India yang mengamalkan sistem undang-undang Inggeris.

Ketika itu, kerajaan Kelantan dan Sabah  mengubal undang-undang  anti lompat bagi memastikan wakil rakyat mereka tidak melompat parti. Selepas keputusan Mahkamah Agung tidak ada sesiapa yang memberikan tindak balas ke arah penggubalan undang-undang anti lompat.

Namun terdapat parti politik yang membuat ba’iah, ada pula meminta calon mereka membuat surat perjanjian tanpa tarikh dengan menyatakan akan meletak jawatan sekiranya keluar parti selepas menang pilihan raya.

Ini sebenarnya bertentangan dengan semangat kebebasan berparti dan bertentangan dengan semangat demoktasi berparlimen.

Isu lompat parti ini lebih kepada isu integriti dan moral politik. Rakyat perlu bijak menilai apabila amanah yang mereka berikan itu dikhianati dengan berpaling padah kepada parti lawan.

Namun sekiranya wakil rakyat yang melompat itu terus memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat diwakilinya, ini sesuatu yang baik kepada kawasan pilihan raya tersebut. Maknanya, selagi kekal berkhidmat dengan rakyat maka isu hak rakyat tidak dinafikan atau dilanggar tidak timbul.

Lagi pun tidak ada bukti lompat parti mempunyai rasuah dan jenayah yang dapat dibuktikan di mahkamah. Kadangkala persepsi lebih hidup daripada realiti.

Tindakan menyekat wakil rakyat dipilih untuk melompat lazimnya dipengaruhi oleh kebimbangan jumlah kerusi Parlimen atau DUN semakin berkurangan. Ia juga mampu mengakibatkan parti politik itu hilang daya saing pada masa depan. 

Lazimnya, lompat parti dilakukan untuk bersama-sama membentuk majoriti agar dapat kuasa dan berkuasa. Langkah ini akan menyebabkan parti lama terkapai-kapai, terancam kuasa dan ketidakstabilan politik.

Pasti yang sanggup menyeberang dilihat tidak berprinsip, berpaling tadah, oportunis dan merajuk akibat tidak terpilih. Juga, disebabkan mudah terpengaruh tawaran dan gentar terhadap kerjaya politiknya terjejas.

Inilah dikatakan perlunya dilihat daripada aspek integriti dan moral politik. Bukannya ditekankan dengan akta yang menyekat demokrasi melalui akta lompat parti! – 7 Oktober, 2018.

* Dr Awang Azman Awang Pawi ialah ahli akademik yang percaya dunia akademik melangkaui politik kepartian dan intelektual awam adalah pencetus pencerahan. Selain memberi kuliah beliau juga menjalankan kajian bebas dalam bidang sosio-budaya termasuk budaya politik dan budaya masyarakat.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen