Rakyat tanggung RM8.1 bilion setahun jika 1MDB gagal bayar hutang, kata PAS


Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata kegagalan 1Malaysia Development Berhad membayar hutang kepada International Petroleum Investment Co akan menyebabkan rakyat Malaysia menanggung beban faedah yang dikenakan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Ogos, 2017.

PAS menegaskan pentingnya kejayaan pelan rasionalisasi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kerana kegagalan syarikat itu membayar semua hutangnya akan mengakibatkan kos tambahan sebanyak AS$1.9 bilion (RM8.1 bilion) setahun.

Dana pelaburan negara itu terlepas tarikh pembayaran hutang pada 31 Julai sebanyak AS$600 juta (RM2.57 bilion) kepada International Petroleum Investment Co (IPIC) milik kerajaan Abu Dhabi.

IPIC kemudiannya bersetuju melanjutkan tarikh, membenarkan 1MDB membayar sekurang-kurangnya AS$310 juta pada 12 Ogos dan semua wang bersama faedahnya pada 31 Ogos.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy sudah memberi taklimat kepada kepimpinan kanan parti mengenai pelan rasionalisasi syarikat dan memastikan ia tidak lagi menerima pembiayaan kerajaan.

Tuan Ibrahim berkata pelan itu perlu berjaya kerana kegagalan ia berbuat demikian akan menyebabkan rakyat Malaysia menanggung beban faedah.

“Suka atau tidak, kelewatan pembayaran akan menyebabkan kos faedah meningkat, yang akan membebankan rakyat dan kerajaan masa depan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) mesti bertanggungjawab terhadap hutang ditanggung 1MDB, sambil menambah Kementerian Kewangan harus mula melaporkan kepada Parlimen mengenai perkara berkaitan 1MDB dan asetnya.

“Walaupun 1MDB perlu diberi peluang menyelesaikan hutangnya, kita semua perlu bekerjasama menjatuhkan BN supaya mereka yang meninggalkan kita dengan hutang 1MDB akan dibawa ke muka pengadilan.”

“Pihak yang membayar adalah rakyat, bukan mereka yang berkuasa yang menipu pembayar cukai dengan menggunakan 1MDB.

“Sekalipun semua harta dan aset mereka yang terlibat dirampas, ia tidak akan dapat membayar hutang 1MDB.

“Itulah realiti dan kesan sebenar skandal 1MDB terhadap rakyat.

“Tidak boleh dinafikan lagi yang 1MDB adalah malapetaka kepada negara.”

Tuan Ibrahim berkata walaupun kerajaan baru dibentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-14, hutang 1MDB, dianggarkan sebanyak RM40 bilion, masih perlu diselesaikan.

PAS juga menggesa Suruhanjaya Siasatan Diraja menyiasat 1MDB. –  9 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen