Pakatan ulang kesilapan sama semasa PRK, kata Bersih


Nabihah Hamid

Calon Pakatan Harapan dikesan melakukan lebih banyak kesalahan berbanding calon MCA dan PAS dalam dua PRK semasa pembentangan laporan pemerhatian PRK Seri Setia dan Balakong oleh Bersih hari ini. – Gambar The Malaysian Insight, 4 Oktober, 2018.

PAKATAN Harapan (PH) mengulangi kesilapan sama melanggar peraturan dalam dua pilihan raya kecil (PRK) di Seri Setia dan Balakong, walaupun sudah ditegur selepas PRK Sungai Kandis, kata badan pemantau pilihan raya Bersih 2.0.

Calon PH juga dikesan melakukan lebih banyak kesalahan berbanding calon MCA dan PAS dalam dua PRK itu, katanya.

Pengarah Eksekutif Bersih Yap Swe Seng kecewa kerana PH kini mengulangi kesilapan Barisan Nasional (BN) seperti menyalah guna aset kerajaan dalam berkempen selain mengadakan jamuan untuk meraih undi.

“Kita mahu Malaysia baru. Mereka (PH) kini ulangi semula budaya lama yang diamalkan BN sebelum ini. Ia tidak wajar,” katanya pada sidang media membentangkan laporan Bersih di Kuala Lumpur hari ini.

Sementara itu, Pemangku Pengerusi Bersih 2.0 Shahrul Aman Mohd Saari berkata isu kesalahan pilihan raya yang berulang-ulang seperti ini harus dijadikan pertimbangan kerajaan untuk memberi kuasa menyiasat dan mengambil tindakan pada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Untuk jangka masa panjang, saya harapkan SPR diberdayakan untuk ada kuasa menyiasat, boleh mendakwa seperti SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia). Sekarang ini mereka tidak ada kuasa itu.

“Kita harap kalau semua (urusan) yang berkaitan (pilihan raya) diletak bawah SPR, maka lebih mudah,” katanya, selepas membentangkan laporan pemerhatian Bersih terhadap PRK Seri Setia dan Balakong.

Jelas beliau, kuasa pada SPR itu akan memastikan semua aduan diambil tindakan oleh pihak yang berkuasa.

Antara kesilapan sama yang dilakukan PH ialah menggunakan aset kerajaan sewaktu berkempen di Balakong, memberi saguhati seperti T-shirt putih di Seri Setia dan membuat jamuan makan untuk kedua-dua PRK itu.

“Bersih menggesa semua parti menghentikan taktik memberi hadiah untuk meraih undi.

“Bersih juga menggesa menyalahguna aset kerajaan, tenaga kerja, agensi dan program untuk raih undi,” kata Shahrul lagi.

Antara kesilapan sama yang dilakukan Pakatan Harapan ialah menggunakan aset kerajaan sewaktu berkempen di Balakong seperti memberi saguhati dan membuat jamuan makan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Oktober, 2018.

Menurut Bersih, pada PRK Balakong, tiga menteri persekutuan dikesan menggunakan aset kerajaan sewaktu berkempen.

Mereka ialah Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali; Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad.

Calon DAP, Wong Siew Ki di Balakong juga dikesan memakai lencana logo parti ketika berada di pusat mengundi berdekatan saluran.

MCA dan PAS juga masing-masing dikesan membuat majlis makan dan memberikan saguhati kepada pengundi semasa kempen, manakala MCA menganjurkan kempen pemeriksaan kesihatan – semuanya didakwa ganjaran untuk meraih undi.

Dalam pada itu, calon PAS di Seri Setia, Dr Halimah Ali turut dilaporkan berkempen di Facebook rasminya pada hari mengundi.

Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail sebelum ini berkata PH tidak seharusnya mengulangi kesilapan di Sungai Kandis sehingga melanggar peraturan pilihan raya seperti yang didakwa Bersih.

Timbalan perdana menteri menegaskan PH perlu memastikan PRK di Balakong dan Seri Setia berjalan dengan bersih dan adil.

Selepas PRK Sungai Kandis pada 4 Ogos lalu, Bersih turut membuat laporan terhadap bekas perdana menteri Najib Razak kerana didakwa berkempen di media sosial pada hari pengundian. – 4 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen