Bersih lapor SPR, bukan polis mengenai kesalahan Najib di PRK Sungai Kandis


Bersih berkata laporan kepada SPR itu turut menyatakan kesalahan yang dilakukan calon PKR namun menjelaskan ia adalah keputusan SPR untuk membuat tindakan susulan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Oktober, 2018.

BERSIH 2.0 tidak membuat laporan polis mengenai kesalahan yang didakwa dilakukan bekas perdana menteri Najib Razak di PRK Sungai Kandis, kata kumpulan itu hari ini.

Bersih 2.0 hanya membuat laporan kepada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mengenai hantaran Facebook Najib pada hari PRK dijalankan pada 4 Ogos lalu.

“SPR kemudian membuat laporan polis mengenai kes itu, kami yakin Najib akan disiasat polis,” kata Bersih dalam sebuah kenyataan.

Kumpulan pendesak reform pilihanraya itu menjelaskan kenyataan Najib yang mencabar Bersih sama ada kumpulan itu membuat laporan sama terhadap parti-parti lain yang bertanding di Sungai Kandis.

Bersih berkata laporan kepada SPR itu turut menyatakan kesalahan yang dilakukan calon PKR namun menjelaskan ia adalah keputusan SPR untuk membuat tindakan susulan.

Kumpulan itu juga turut menggesa SPR untuk meneliti kesemua aduan mengenai pilihanraya termasuklah anggota masyarakat yang lain.

“(Kesemua aduan) harus disiasat untuk memastikan pilihanraya yang bersih dan adil,” kata kenyataan itu lagi.–2 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen