PAKATAN Harapan (PH) tidak boleh mengulangi kesilapan di Sungai Kandis sehingga melanggar peraturan pilihan raya seperti yang didakwa oleh badan pemantau pilihan raya Bersih 2.0, kata presidennya Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Beliau yang juga timbalan perdana menteri menegaskan PH perlu memastikan pilihan raya kecil di Balakong dan Seri Setia berjalan dengan bersih dan adil.
“Kita ambil maklum (teguran Bersih) sebab kita ambil serius dan kita tidak mahu melanggar yang sepatutnya tidak dilanggar.
“Dan kita ambil (maklum) bahawa pilihan raya ini mesti bebas dan adil,” kata Dr Wan Azizah selepas majlis pelancaran buku ‘Percakapan Dengan Raja Ahmad Aminullah Kesetiaan Pada Idea’ di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Bersih 2.0 semalam yang mendakwa PH dan Barisan Nasional melakukan kesilapan dalam pilihan raya kecil di Sungai Kandis baru-baru ini.
Antara kesalahan itu termasuk menyalahgunakan aset dan program kerajaan, memberi sagu hati untuk memancing undi dan memberi hadiah sebagai pertukaran untuk mendapatkan sokongan.
Pilihan raya kecil Balakong dan Seri Setia bakal diadakan serentak pada 8 September ini.
Seri Setia menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon parti Islam PAS, Dr Halimah Ali dan calon PH Halimey Abu Bakar.
Manakala di Balakong, DAP mempertaruhkan bekas ahli Majlis Subang Jaya Wong Siew Ki menentang calon MCA iaitu Ketua Pemuda MCA Bahagian Cheras Batu 11 Tan Chee Teong. – 19 Ogos, 2018.
Komen