Orang tidak malu lagi mencuri, semua okay dan senyum sahaja, kata Dr Mahathir


Dunia panggil mereka pencuri, perasuah, penyangak – tak apa, senyum sahaja, kata Dr Mahathir. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Ogos, 2017.

RAMAI dalam kalangan anggota kerajaan hari ini sudah tidak ada lagi rasa malu dan tidak tahu malu walaupun berdepan tuduhan melakukan jenayah curi dan rasuah, sebaliknya masih boleh tersenyum dan menganggap semuanya okay, kata Dr Mahathir Mohamad. 

Dalam tulisan terbaru di blognya yang bernada sindiran, bekas perdana menteri itu menyelar sikap acuh tidak acuh terhadap salah laku moral itu daripada anggota kerajaan sampailah kepada orang bawahan, yang kesannya kemudian merosakkan negara.

“Mereka didapati mencuri tetapi mereka tidak sedikit pun berasa malu. Didakwa mencuri, dibukti mencuri – tak mengapa.

“Dunia panggil mereka pencuri, perasuah, penyangak – tak apa. Senyum sahaja,” katanya.

Dr Mahathir tidak menyebut nama orang yang beliau maksudkan tetapi tulisan terbarunya ini senada dengan serangan-serangannya terhadap Perdana Menteri Najib Razak serta beberapa pemimpin kerajaan yang mempertahankan isu-isu berhubung 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurut Dr Mahathir, mereka ini sudah tidak lagi peduli kesan daripada perbuatan mereka itu, sehingga negara dihina dan digelar antara sepuluh negara tertinggi tahap rasuah di dunia.

Beliau juga menunjuk tingkah laku dalam kalangan pegawai yang menerima kenaikan pangkat atau jawatan walaupun “tidak layak, tidak mengikut aturan peraturan, bercanggah dengan undang-undang” kerana mereka ini sudah tidak tahu malu.

“Menerima duit yang dicuri, apa salahnya? Terima kasih. Cium tangan pemberi durian runtuh.

“Diketahui mendapat pangkat atau jawatan kerana cekap membodek, sanggup melaksanakan arahan yang salah oleh boss, pun tak malu,” katanya.

Dr Mahathir membayangkan kekesalannya maruah sudah tidak lagi jadi junjungan sehingga orang sanggup dihina dan dipandang rendah, asal saja mereka dapat duit dan pangkat.

“Pedulikan maruah,” katanya.

“Masyarakat pandang jijik, menyampah – pedulikan. Sesungguhnya kerana mereka ini, bangsa menjadi bangsat di negara sendiri. Tak lama lagi bangsa bangsat ini kehilangan negara, menjadi penumpang di negara sendiri, anak cucu jadi kuli.

“Ini pun tak mengapa kerana yang tak tahu malu tidak akan berasa malu menjadi pengemis, kuli di negara sendiri,” katanya.

Dalam satu wawancara dengan The Malaysian Insight baru-baru ini, Dr Mahathir menyifatkan kedudukan orang Melayu kini lebih merosot berbanding semasa beliau jadi perdana menteri.

“Yang memburukkan orang Melayu ialah Najib. Tiba-tiba orang Melayu yang dikenali dari Malaysia yang membangun dengan pesat sekarang ini dikenali (di)seluruh dunia sebagai negara yang dipimpin pemimpin yang ada kontroversi.

“Siapa yang buat buruk bagi orang Melayu, saya atau dia?” katanya. – 8 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen