Alangkah lucunya Kuala Lumpur jadi kota buku


Hadri Shah

MEDIA baru-baru ini melaporkan Kuala Lumpur dinamakan sebagai Kota Buku Dunia untuk 2020 oleh Unesco.

Antara sebab pengiktirafan “langit ke-tujuh” Unesco terhadap Kuala Lumpur adalah kerana Kuala Lumpur ada fokus yang kuat pada pendidikan yang inklusif, pembangunan berterusan membina masyarakat berpengetahuan dan akses yang mudah pada bahan bacaan.

Hari itu merupakan hari yang terindah buat Malaysia.

Berjuta rakyatnya menadah tangan ke langit tanda syukur. Raut wajah mereka terlukis senyuman paling menawan. Mereka sesama sendiri berbondong-bondong mengucapkan “Tahniah Kuala Lumpur” di media sosial. Rasa bangga, terharu, gembira dengan anugerah ini tumbuh wangi dalam jiwa masing-masing.

Perasaan bangga ini tentunya berlipat kali ganda, tuan-tuan.

Manakan tidak, 2018 semestinya tahun yang cukup sempurna buat Malaysia. Pasca 9 Mei menyaksikan rakyat Malaysia pertama kalinya dengan kuasa undi meranapkan kesombongan rejim Barisan Nasional selepas 60 tahun memerintah. GST, cukai yang memiskinkan rakyat, pula dihapuskan sebelum diganti dengan cukai yang “mengayakan” rakyat.

Rakyat pula bersikap patriotik – secara sukarela sanggup menderma kepada negara untuk menyelamatkan Malaysia daripada bankrap. Dan barangkali kerana berkatnya Malaysia, pada 20 September, 2018 Kuala Lumpur ditabalkan sebagai Kota Buku 2020 oleh Unesco.

Buat pengetahuan tuan-tuan, anugerah ini bukan bertaraf kecil-kecil anak.

Sebelum ini, kota-kota besar seperti Madrid, Montreal, Turin, Incheon, Athens malah Bangkok pernah diiktiraf sebagai kota buku oleh Unesco. Penganugerahan ini membuktikan betapa industri buku dan budaya membaca dalam kalangan rakyat di kota-kota besar yang terpilih diiktiraf dunia.

Maksudnya, selepas ini, satu dunia akan tahu betapa syurganya industri buku Malaysia, betapa rancaknya buku diterbitkan penulis Malaysia dan betapa “gilanya” orang Kuala Lumpur memartabatkan buku setinggi istana.

Tetapi keriuhan rakyat Malaysia larut dalam kebahagiaan juga fana; ada seorang makhluk yang tidak senang dengan penganugerahan ini.

Sufian Abas, yang dianggap “godfather” fiksyen pop Malaysia, dengan bersahajanya mengharu-birukan kebahagiaan rakyat Malaysia.

“Siapa yang cadangkan Kuala Lumpur sebagai Kota Buku Dunia? Tak sedar diri? Bodoh? Gila? Ketiga-tiganya sekali?”

Tergelak aku selepas membaca respons beliau di Facebook pada hari yang sama berita ini dikhabarkan.

Inilah peranan “godfather” tuan-tuan. Seorang manusia yang berani merusuh di tengah-tengah kebahagiaan. Seorang individu yang berani berwatak senteng ketika semua manusia di sekeliling berwatak zombie demi menjaga adab kesopanan.

Respons beliau terhadap berita itu merupakan peluntur paling kejam menyahwarnakan keindahan sebuah pengiktirafan palsu.

Namun, tanpa Sufian Abas, kita sebagai masyarakat yang diiktiraf masyarakat membaca sepatutnya terlebih dahulu menghidu kecelaruan pengiktirafan ini.

Soalannya, mengapa kita tidak?

Sekiranya kita memilih untuk menoleh semula ke belakang buat beberapa minit, barangkali kita mungkin akan menjadi lebih sinis dan kejam dari Sufian.

Tuan-tuan, berapa jumlah buku yang diharamkan kerajaan sebelum ini?

Menurut Tinta Anak Muda, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan 1,543 buku. Jumlah ini belum lagi termasuk dengan buku-buku yang diharamkan oleh Jakim.

Andainya buku diharamkan, ia jelas bermaksud kebebasan menulis, mengekspresikan, mempropagandakan idea oleh penulis serta kebebasan membaca dan menentukan sendiri pendirian oleh sang pembaca sama sekali adalah agenda utopia yang dicanang-canangkan pemerintah.

KDN sering kali membuat kenyataan pengharaman buku adalah kerana laporan yang dibuat oleh orang ramai. Juga alasan klasik mereka – “menghindarkan daripada kerusuhan, kecelaruan dan salah faham kepada pembaca”.

Nah! Bukankah ini satu penghinaan buat masyarakat membaca? Betapa kerdilnya masyarakat membaca sehinggakan untuk berkeputusan “baik” atau “buruk"nya buku yang ditulis itu mesti datang daripada suara pihak berkuasa.

Benar, pengharaman beribu buku itu berlaku pada era pemerintahan kerajaan lama. Tetapi ingat, kerja menghalalkan buku yang diharam ini tidak segera berlaku sesegera pelantikan politik dalam kalangan menteri kerajaan Malaysia Baharu. Mengerti?

Tanpa statistik dan tanpa kajian sekalipun, kita sebenarnya sudah boleh mengagak-agak bagaimana kondisi industri buku di Malaysia. Industri ini sedang tenat. Banyak penerbit buku sudah bungkus. Penulis kehilangan kiblat saat penerbit bertemu kematian.

Jika kita singgah ke Kinokuniya, cuba perhatikan berapa banyak buku penulis tempatan sedang bergelut dengan buku-buku luar negara?

Tidak tuan-tuan. Ini bukan fasisme atau nasionalisme yang melongkang. Ini kenyataannya. Ada perkara yang tidak beres. Buku-buku tempatan tidak terjual laris selaris filem Munafik 2.

Oh, kerana buku tempatan membosankan? Layout-nya tidak menarik? Banyak buku cinta cintun yang meloyakan?  Adakah ini justifikasi yang paling adil? Atau ia sekadar alasan untuk menutup kebobrokan azali?

Masyarakat melihat buku sebagai hobi, bukan sebagai barang yang diperlukan seperti mereka memerlukan sepinggan nasi. Membaca tidak dianggap sebagai sub-budaya. Ia amalan eksklusif. Ada yang tidak kena dengan perlaksanaannya.

Barangkali kerana didikan – buku tidak sepenting mengejar A dalam peperiksaan. Barangkali kerana harganya. Barangkali kerana peruntukan membeli senaskah buku sebulan sudah dipotong untuk membiayai keperluan asas lain yang lebih penting. Betul juga. Air rebusan buku tidak mengenyangkan, bukan?

Menerbitkan buku, menjadikannya amalan membaca sebagai sebahagian dari hidup, dan mencipta masyarakat yang merdeka dan kritis tentunya tak dapat diselesaikan hanya dengan pengiktirafan seperti ini.

Jika benar kita jujur, kita telah memberi kebebasan mutlak baik kepada penulis dan pembaca. Kita tidak memerlukan polis moral seperti KDN dan Jakim untuk buat keputusan mana yang boleh ditulis atau mana yang tidak boleh dibaca.

Industri buku tidak boleh dipandang sebagai komoditi semata. Kerananya, ia akan dipaksikan ke arah kapital untuk kepentingan sesebuah ‘pihak’ semata tanpa memperjuangkan tujuan asalnya merancakkan pergelutan idea baik dari cerita-cerita fiksyen atau bukan fiksyen.

Namun, kita mesti berpijak di dunia nyata. Industri ini perlu hidup. Orang yang di dalamnya seperti penerbit editor mahupun penulis mahu hidup. Mereka perlu makan dan membiayai keperluan asas mereka. Maksud menolak kapital di sini bermaksud, biarlah industri ini diuruskan secara bebas dan berkolektif tanpa autoriti yang mengawal secara tuntas.

Jika tidak, ia akan berakhir seperti apa yang telah dilakukan pemerintah lalu, KDN dan Jakim.

Walaupun begitu, kita masih beruntung mempunyai anak-anak muda yang mengorganisasikan sesama sendiri dan mempersiapkan diri mereka menghidupkan industri buku.

Mereka tidak menunggu pemerintah, kementerian untuk menentukan gerak kerja mereka. Anak-anak muda inilah yang mengacarakan program-program berkaitan buku. Merekalah saf-saf hadapan mempromosi budaya membaca, budaya mengkritik dan tidak takut untuk berkata tidak di hadapan tradisi konservatif.

Pengiktirafan Unesco ini tidak boleh ditolak. Itu sudah tentu. Tetapi kita juga tidak seharusnya merasa nyaman hanya kerana kita sudah setaraf kota-kota seperti Athens.

Kita mesti sedar akan kenyataan, bahawasanya pertabalan ini bukanlah semanis yang disangka. Menyedarinya tidak pula membuatkan kita kecil malah memerdekakan kita dari dibelenggu sebuah pengiktirafan yang mencandukan. – 2 Oktober, 2018.

* Hadri Shah, penulis buku Nasionalisme Longkang, merupakan seorang penggemar laksa dan kopi buatan pari pari dari kayangan. Hari-harinya dibazirkan dengan memerhati manusia dan selfie stick mereka di KLCC dan kemudian menulis tentang dunia di dalam tren. Pada subuh hari minggu, Hadri Shah bersama-sama buburborjuis berkongsi sarapan dengan teman-teman di Kuala Lumpur.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen