Anifah Aman pula keluar parti


Jason Santos

Anifah Aman mengakui mengambil keputusan keluar daripada Umno dan akan mengeluarkan kenyataan rasmi mengenainya dalam tempoh terdekat. – Gambar EPA, 19 September, 2018.

PENGARUH  Umno di Dewan Rakyat kini semakin menyusut apabila seorang lagi veteran Umno, Anifah Aman bertindak keluar parti.

Ahli Parlimen Kimanis itu mengesahkan keluar parti dan akan menyerahkan surat peletakan jawatan kepada setiausaha agung Annuar Musa.

“Saya buat keputusan beberapa hari lalu. Saya tidak tahu bila setiausaha saya akan hantar surat saya kepada ibu pejabat Umno, tapi saya sahkan sudah keluar parti,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Anifah mengancam untuk meninggalkan Umno sejak selepas pilihan raya umum 2008 ketika pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi sebagai perdana menteri.

Anifah pada waktu itu tidak berpuas hati kerana ahli Parlimen Sabah tidak diberi jawatan menteri Kabinet walaupun negeri itu memberi sumbangan besar kepada kemenangan BN pada tahun itu.

Beliau mengancam untuk meninggalkan parti sekali lagi pada Mac tahun ini bagi menekan perdana menteri waktu itu Najib Razak untuk mengembalikan hak istimewa Sabah.

Ahli Parlimen di Sabah yang masih kekal dengan Umno kini hanya enam – wakil Kinabatangan, Labuan, Sipitang, Beaufort, Beluran dan Libaran.

Semalam, bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri, Mustapa Mohamed mengumumkan keluar Umno selepas menganggotai parti itu selama 40 tahun.

Mustapa berkata beliau hilang kepercayaan kepada Umno dan kemampuan parti untuk meraih semula kemenangan rakyat, selepas ditolak dalam pilihan raya umum 9 Mei.

Umno kini hanya mempunyai 50 ahli sahaja di Dewan Rakyat apabila Mustapa mengumumkan keluar parti semalam.

Umno menang 54 kerusi Parlimen tetapi tiga daripada wakil rakyat itu meletak jawatan selang beberapa minggu selepas pilihan raya umum ke-14.

Tiga ahli Parlimen tersebut adalah Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah), Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang) dan Noor Azmi Ghazali (Bagan Serai).

Bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menyalahkan presiden baharu, Ahmad Zahid Hamidi atas tindakan Mustapa meninggalkan parti. – 19 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen