Henti fitnah kerajaan dalam gereja, kata Ku Nan


Low Han Shaun

Ku Nan berkata gereja sepatutnya menjadi tempat “menyebarkan ajaran Tuhan” dan bukan tempat pemimpin Kristian berkongsi ketidakpuasan hati peribadi mereka. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 3 Febuari, 2018.

PENGANUT Kristian tidak wajar menggunakan gereja untuk menyebarkan berita palsu dan penipuan yang memburukkan kerajaan Persekutuan, kata Menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Mansor hari ini.

Tengku Adnan yang lebih dikenali sebagai Ku Nan, berkata gereja sepatutnya menjadi tempat “menyebarkan ajaran Tuhan” dan bukan tempat pemimpin Kristian berkongsi ketidakpuasan hati peribadi mereka.

Bagaimanapun dalam ucapannya itu, Tengku Adnan tidak memberikan contoh berita palsu atau penipuan yang berpunca dari gereja.

“Saya juga mahu merayu kawan-kawan Kristian saya, apa sahaja yang tuan-tuan buat di gereja, tolong jangan guna gereja sebagai tempat untuk bercakap perkara tidak benar,” katanya.

“Tuan-tuan baca di internet dan apa sahaja yang ditemui, dan tuan-tuan cerita di gereja.

“Kerana bila tuan-tuan pergi ke mana-mana, bila tuan-tuan bagi khutbah dan mengajar pada Ahad, ada banyak perkara yang disebut yang kadang kala tidak benar.

“Tolong guna gereja sebagai tempat untuk tuan-tuan sebarkan ajaran Tuhan, bukan untuk sebarkan ajaran sendiri atau perkara yang tuan-tuan tak suka,” katanya.

Katanya lagi, beliau tidak faham mengapa penganut Kristian terutama di Titiwangsa menentang Kementerian Wilayah Persekutuan sedangkan mereka sudah mendapat banyak manfaat daripada kerajaan Persekutuan.

“Kadang kala saya tak faham mengapa bila Johari Ghani beritahu saya tentang gereja dapatkan tanah di Titiwangsa, saya beritahu dia yang kita patut beri tanah itu kepada gereja itu (Chapel of Our Lady of Good Health) dan bantu mereka, tiada masalah untuk kami.

“Kerana kerajaan hari ini adalah moderat, bertimbang rasa dan memenuhi keperluan rakyat tanpa mengira Melayu, Cina atau India kerana kami tahu tiada perbezaan agama di negara ini,” katanya.

Pada sidang media selepas itu, beliau mengatakan salah satu berita palsu yang disebarkan pada khutbah Ahad adalah tentang kenyataan media dikeluarkan Pengerusi Hindraf P Waytha Moorthy.

“Dia kata saya menipu dalam satu kenyataannya, saya tak pernah tipu, malah 300 orang di sini kami beri mereka RM42,000 tanpa perlu bayar deposit dan mereka bayar sewa beli (skim di bawah Rumah Wilayah Persekutuan, RumaWIP),” katanya.

Dalam kenyataan bertarikh 30 Januari lalu, Waytha menuduh Ku Nan “memperdaya masyarakat India” dan mengatakan Ku Nan menipu tentang peruntukan RM50 juta menerusi Yayasan Wilayah Persekutuan untuk dipinjamkan kepada masyarakat India bagi membeli rumah di bawah program RumaWIP.

“Ada ribuan orang India M40 dan B40 di sekitar KL yang tidak pernah dengar tentang skim itu,” kata Waytha menambah yang Ku Nan juga memperdaya orang India menerusi kuota rumah untuk orang India dalam program RumaWIP.

Ku Nan menambah yang ada kuota untuk orang India di semua RumaWIP dan mempersoalkan balik tentang sejuta pound yang dijanjikan Wathya kepada masyarakat India.

“Dan kita ada kuota untuk orang India dalam semua RumaWIP, sekurang-kurangnya kita mahu 10% orang India beli, jika mereka tak dapat pinjaman, datang ke Yayasan Wilayah Persekutuan, tak adil untuk dia kata kami hanya perdayakan orang India.

Ku Nan bagaimanapun tidak menjelaskan gereja manakah yang terlibat dalam penyebaran berita palsu itu, beliau juga tidak mendedahkan bagaimana kementeriannya mengetahui berita palsu itu berpunca dari gereja.

“Ini adalah salah satu berita palsu (yang tersebar dalam gereja), jadi saya mahu tanya dia, apa jadi dengan sejuta pound yang dia janji?”

Waytha pernah menyaman kerajaan British kerana mengabaikan masyarakat India di bawah pemerintahan majoriti orang Melayu ketika menyerahkan kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957.

Saman yang disokong Hindraf itu mahu kerajaan British membayar sejuta pound kepada setiap orang India di Malaysia. – 3 Febuari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Ye la sapa suruh x kasi pakai kalimah allah

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan

  • sepatutnya kebebasan beragama di gunakan dengan sewajarnya untuk setiap kaum di negara ini.hal ini menjadi sensiviti kaum jika wujudnya peranan gereja dalam menyebarkan berita palsu dan tidak benar terhadap kerajaan khususnya melibat kan agama.Di harap pihak yang berkenaan sedar akan perbuatan mereka boleh mengugat kesejahteraan dan keamanan setiap kaum di negara ini yg kita kecapi bersama

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan