RM200,000 untuk lesen haram import arak, rokok


Kalidevi Mogan Kumarappa

Sindiket yang aktif di Kuala Lumpur dan Selangor itu mengeluarkan lebih 10 lesen sejak awal tahun ini dengan mengaut antara RM100,000 hingga RM200,000 untuk setiap lesen, kata sumber. – Gambar EPA, 17 Mei, 2019.

SATU sindiket tempatan dikesan mendalangi pengeluaran lesen haram kepada pengimport arak dan rokok untuk membawa masuk bahan kawalan itu.

The Malaysian Insight difahamkan, sindiket didalangi 10 lelaki tempatan itu bertindak demikian dengan bantuan beberapa pegawai kanan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Sindiket yang aktif di Kuala Lumpur dan Selangor itu mengeluarkan lebih 10 lesen sejak awal tahun ini dengan mengaut antara RM100,000 hingga RM200,000 untuk setiap lesen, kata sumber.

Sumber dari agensi antirasuah berkata, sekiranya melalui prosedur biasa tanpa melalui sindiket itu, pemohon akan memperoleh lesen dalam tempoh dua ke tiga bulan.

“Tetapi jika menggunakan khidmat sindiket ini yang lebih dikenali sebagai syarikat perunding, seseorang akan memperoleh lesen dalam tempoh sebulan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Projek menguruskan “lesen import pasti lulus” itu sama seperti kaedah dilakukan sindiket menguruskan lesen memandu yang telahpun dibanteras kerajaan, kata sumber.

“Itu yang dijanjikan sindiket kepada pelanggannya dan peratusan untuk permohonan lesen gagal juga adalah rendah melainkan dikesan pasukan risikan.

“Kegiatan sindiket ini juga menjadi lebih aktif apabila JKDM mempermudahkan proses permohonan lesen dengan tiada proses temuramah di peringkat ibu pejabat oleh pasukan risikan,” katanya.

Bagaimanapun, menurut sumber, ada kalanya pegawai risikan JKDM menyedari kegiatan sindiket tersebut apabila terdapat permohonan meragukan.

“JKDM pernah mengesan pengarah syarikat yang hanya berusia 21 tahun yang sebenarnya adalah pelajar yang dijanjikan gaji bulanan sebanyak RM1,000 bagi menggunakan namanya sebagai pengarah syarikat.

“Jika lesen itu lulus, ia akan digunakan sindiket untuk kegiatan penyeludupan rokok dan arak haram dan sekiranya ada tindakan oleh pihak berkuasa, pelajar itu yang akan menjadi mangsa,” katanya.

Beliau juga pernah menemui penoreh getah yang diminta menjadi pengarah syarikat dengan bayaran RM1,500.

Katanya, sindiket juga hanya memerlukan sekeping salinan kad pengenalan dan mereka akan memalsukan dokumen lain atau menggunakan identiti syarikat lain.

“Mereka hanya akan meminta si pemohon untuk memenuhi satu syarat yang ditetapkan JKDM iaitu jaminan simpanan kewangan berjumlah RM350,000.

“Ada kalanya si pemohon yang dilantik sebagai pengarah syarikat yang kononnya mempunyai jumlah wang yang banyak itu hanya memiliki motosikal kapcai,” katanya.

Aktiviti sindiket berkenaan merupakan antara perkara yang dikesan melibatkan pengurusan lesen import minuman kerasa oleh JKDM.

Isnin lalu, The Malaysian Insight mendedahkan mengenai syarikat yang didakwa anak emas JKDM yang masih beroperasi dan mengaut untung sehingga RM7 juta walau lesen import dibatalkan.

Lesen import palsu berkenaan didapati dikeluarkan pihak tertentu dalam kastam, dan kini disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

JKDM didapati tidak mengambil sebarang tindakan ke atas syarikat itu, yang didakwa ada kaitan dengan seorang pegawai kanan di Kementerian Kewangan semasa pentadbiran kerajaan sebelum ini.

Selain syarikat yang beralamat di Bandar Sunway, Selangor, SPRM juga mengesan keiatan pengimport minuman alkohol di Brickfields, Kuala Lumpur yang beroperasi dengan lesen palsu.

Siasatan pihak berkuasa setakat ini menunjukkan syarikat itu mendapat lesen dengan tempoh sah “istimewa” selama setahun untuk mengimport sehingga 230 juta liter arak.

Sumber menjelaskan kegiatan import minuman keras dengan lesen palsu ini berleluasa selepas kerajaan menguatkuasakan pindaan Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017. 

Pindaan itu mensyaratkan pengimport minuman keras dan rokok mengemukakan lesen import semasa membuat perisytiharan kepada kastam, berkuatkuasa sejak 1 April 2017.

Pindaan itu sepatutnya memperketatkan sistem sedia ada tetapi apa yang berlaku, ia seolah-olah menjadikan penyeludupan rokok dan alkohol lebih mudah, menurut sumber.

Dengan pindaan itu, jumlah pengimport arak meningkat sebanyak 500 syarikat dan sepatutnya menjadi pendapatan negara meningkat kepada lima kali ganda.

Namun kutipan dari duti import tidak menunjukkan peningkatan, yang menimbulkan persoalan mengenai pengeluaran begitu banyak lesen import, kata sumber.

Terdahulu, The Malaysian Insight pada Mac melaporkan beberapa pegawai tinggi kastam kini disiasat dalam kes penyeludupan rokok dan minuman keras itu.

Enam syarikat juga dipantau SPRM kerana disyaki menyalahgunakan lesen import yang dikeluarkan JKDM, yang membolehkan mereka membawa masuk rokok dan arak tanpa membayar cukai. – 17 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen