SPRM pantau pengimport rokok, arak elak cukai


Kalidevi Mogan Kumarappa

Terdapat syarikat menyeludup rokok dan minuman keras masuk ke zon bebas cukai di Malaysia dengan alasan kononnya sebagai transit sebelum ke negara ketiga. – Gambar EPA, 23 Mac, 2019.

AGENSI antirasuah sedang memantau enam syarikat yang disyaki terlibat membawa masuk rokok dan minuman keras ke Malaysia tanpa membayar cukai.

Sumber memberitahu enam syarikat ini bersekongkol dengan orang dalam di Jabatan Kastam Diraja, menyalahgunakan lesen import yang dikeluarkan agensi cukai itu.

“Enam syarikat itu ada lesen import tetapi tiada premis yang sahih. Enam syarikat itu sedang dipantau,” kata sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepada The Malaysian Insight.

Sumber dalaman kastam mendedahkan beberapa pegawai jabatan itu terlibat dalam sindiket mengelak cukai import ini dengan menerima sogokan antara RM30,000 hingga RM50,000.

The Malaysian Insight difahamkan sogokan itu adalah sebagai upah menyokong kelulusan permohonan lesen import rokok dan minuman keras.

Sumber mendedahkan pada masa ini ada 500 permohonan baru untuk lesen import rokok dan minuman keras yang sedang dalam proses menunggu kelulusan.

“Pengeluaran 500 lesen import itu akan menyebabkan kerajaan rugi beratus-ratus juta ringgit. Lesen import ini tidak boleh diluluskan tanpa pengaruh orang dalam jabatan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Modus operandi

Menurut sumber, kebanyakan syarikat baru ini tidak ada modal yang cukup. Syarikat-syarikat itu juga hanya wujud atas nama tanpa mempunyai premis kekal untuk mengimport rokok dan minuman keras yang bernilai puluhan juta ringgit.

Syarikat-syarikat ini akan menyeludup rokok dan minuman keras masuk ke zon bebas cukai di Malaysia dengan alasan kononnya sebagai transit sebelum ke negara ketiga.

“Tetapi barang itu diseludup masuk ke pasaran kita tanpa syarikat berkenaan membayar sebarang duti, dengan bantuan beberapa pegawai kastam,” katanya.

Syarikat ini juga akan beroperasi hanya untuk tempoh yang singkat. Selepas membuat untung berjuta ringgit, syarikat itu akan ditutup dan muncul semula dengan nama lain dan pengarah lain.

“Syarikat seperti ini akan terus bermaharajalela melakukan aktiviti penyeludupan rokok dan minuman keras,” kata sumber lagi.

Katanya, modus operandi baru ini popular dalam kalangan penyeludup selepas kerajaan meminda Perintah Larangan Import dua tahun lalu.

Susulan pindaan itu, mulai 1 April 2017, semua pengimport rokok dan minuman keras perlu mengemukakan lesen import semasa membuat pengisytiharan kepada kastam, sama barangan itu dibawa masuk ke Malaysia atau hanya singgah di negara ini sebelum ke negara ketiga.

Pindaan itu diperkenalkan bagi menangani kegiatan sindiket penyeludupan yang menggunakan kemudahan zon bebas cukai untuk membawa barang masuk tanpa proses kelulusan kastam.

Berdasarkan dokumenyang didedahkan sumber, ada individu yang memohon sehingga 20 lesen import baru.

Ada juga sebuah syarikat baru yang diberikan kelulusan import minuman keras sehingga 2.3 juta hektoliter, suatu jumlah yang tinggi berbanding kelulusan kepada syarikat yang sudah lama berkecimpung dalam perniagaan ini.

Menurut sumber, ada syarikat yang hanya dapat kelulusan lesen import untuk tiga bulan saja walaupun syarikat itu kukuh dan sudah beroperasi selama 25 tahun serta membayar cukai import minuman keras selama ini sehingga berbilion ringgit.

Namun syarikat baru yang cuba mengelak cukai ini sebaliknya diberikan kelulusan lesen import untuk tempoh enam bulan atau setahun, tambah sumber.

“Apa yang lebih menyedihkan lagi syarikat pengimport yang melakukan kesalahan dan terbukti melakukan kesalahan serta melibatkan kes mahkamah masih diberikan lesen import rokok dan minuman keras,” tambahnya lagi.

Sementara itu, Pemangku Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Paddy Abd Halim menafikan bahawa jabatan kastam bersubahat.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan-tuduhan ini. Ia cuma tohmahan sahaja,” katanya.

“Tuduhan memberi lesen secara membuta tuli tidak timbul.

“Kami (JKDM) mempunyai panel bagi meluluskan permohonan lesen import yang baru. Kami akan meneliti setiap dokumen dan latar belakang syarikat yang membuat permohonan.

“Tidak mungkin memberikan lesen kepada syarikat-syarikat yang tidak berkemampuan seperti didakwa,” tambah beliau. – 23 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen