SPRM siasat pegawai kastam terima sogokan kes seludup arak, rokok


Kalidevi Mogan Kumarappa

Agensi anti rasuah mula menyiasat beberapa pegawai tinggi Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang didakwa terlibat dalam kes penyeludupan rokok dan minuman keras. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Mac, 2019.

AGENSI anti rasuah mula menyiasat beberapa pegawai tinggi Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang didakwa terlibat dalam kes penyeludupan rokok dan minuman keras.

Sumber memberitahu, ia berkaitan enam syarikat yang didakwa bersekongkol menyalah guna lesen import yang dikeluarkan JKDM.

Ia didakwa membolehkan syarikat berkenaan membawa masuk rokok dan arak ke Malaysia tanpa membayar cukai.

Enam syarikat tersebut merupakan firma yang sedang dalam pemantauan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), seperti dilaporkan The Malaysian Insight Sabtu lalu.

Menurut sumber, SPRM sudah mengarahkan JKDM menyerahkan beberapa maklumat berhubung dakwaan penyeludupan berkenaan.

“SPRM sudah meminta jabatan kastam supaya menyerahkan senarai nama syarikat yang mempunyai lesen import sejak 2017. 

“SPRM akan teliti asal-usul syarikat-syarikat ini sebelum memulakan siasatan lanjutan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Menurutnya, agensi itu juga akan menyiasat permit lesen import syarikat-syarikat berkenaan.

“SPRM memang pandang serius dengan kes ini. Kami tidak teragak-agak mengambil tindakan,” katanya.

Menurut sumber, enam syarikat berkenaan mempunyai lesen import tetapi tiada premis yang sahih.

Sementara itu, sumber dalaman kastam mendedahkan pegawainya yang terlibat itu menerima sogokan antara RM30,000 hingga RM50,000.

The Malaysian Insight difahamkan sogokan itu adalah sebagai upah menyokong kelulusan permohonan lesen import rokok dan minuman keras.

Sumber mendedahkan pada masa ini ada 500 permohonan baru untuk lesen import rokok dan minuman keras yang sedang dalam proses menunggu kelulusan.

“Pengeluaran 500 lesen import itu akan menyebabkan kerajaan rugi beratus-ratus juta ringgit. 

“Lesen import ini tidak boleh diluluskan tanpa pengaruh orang dalam jabatan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Modus operandi berkenaan didakwa diamalkan sejak dua tahun lalu selepas Perintah Larangan Import 1988 dipinda pada 2017.

Perintah kastam ini mensyaratkan barangan seperti rokok dan minuman keras tertakluk kepada lesen import semasa pengimportan ke dalam negara atau semasa persinggahan barangan berkenaan. – 28 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen