ITBM tidak akan ditutup, kata Maszlee


Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata, ITBM masih berfungsi seperti biasa dengan fungsi terjemahan dan penerbitan buku di bawah kementeriannya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Mei, 2019.

INSTITUT Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) tidak akan ditutup dan dipindahkan fungsinya ke Dewan Bahasa dan Pustaka, kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

Katanya, pada pengetahuan kementerian, agensi itu kini sedang berkembang dan menjalankan fungsinya seperti biasa.

“Itu (ITBM akan ditutup) kena tanya media yang laporkan, setahu kita ITBM semakin berkembang, mereka jalin kerjasama sekarang dengan Pos Malaysia dan menjalankan usaha menyediakan bahan bacaan bagi menyemarakkan tabiat membaca dalam kalangan rakyat kita,” katanya.

Maszlee berkata demikian selepas melancarkan kerjasama strategik ITBM dan Pos Malaysia Berhad di Pejabat Pos Besar Kuala Lumpur, hari ini.

Kerjasama itu dibuat sempena kempen #MalaysiaMembaca dengan menyediakan sudut bacaan dan jualan buku serta khidmat penterjemah di kaunter pos.

Pada 5 April lalu, The Malaysian Insight melaporkan ITBM dan beberapa agensi di bawah Kementerian Pendidikan akan ditutup dan disusun semula melalui pelan penjimatan yang dilaksanakan Kementerian Kewangan.

Susulan laporan itu, pada 11 April lalu, Pengurus Besar  ITMB Sakri Abdullah berharap pihaknya akan terus diperkasakan oleh kementerian seperti janji Maszlee sebelumnya.

Dalam itu, Sakri yang ditemui pada majlis sama memberitahu The Malaysian Insight setakat ini ITBM meneruskan urusan seperti biasa.

Katanya, belum ada perbincangan dibuat sama ada ITBM akan diambil alih oleh DBP

“Masalah akan sentiasa ada, tapi kita setakat ini teruskan macam biasa, tidak ada arahan apa… jadi urusan seperti biasa,” katanya.

Jelas beliau, kerjasama ITBM dan Pos Malaysia adalah salah satu strategi baru perniagaan agensi itu. – 6 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen