ITBM harap terus diperkasa kerajaan


ITBM merupakan antara beberapa agensi, bahagian dan projek bawah Kementerian Pendidikan yang dilaporkan akan dirombak semula bagi menjimatkan kos kerajaan.– Gambar Facebook, 11 April, 2019

INSTITUT Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) bimbang dengan ura-ura bahawa kerajaan akan menutup syarikat tersebut seperti rancangan yang dilaporkan media sejak Julai lalu.

Pengurus besarnya Sakri Abdullah berkata, syarikat itu bagaimanapun tetap berharap akan terus diperkasa seperti jaminan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik pada waktu itu.

“ITBM berbesar hati atas jaminan oleh Dr. Maszlee di media bertarikh 20 Julai 2018 berkaitan hasrat kerajaan untuk memperkasa semua agensi di bawah KPM, iaitu DBP, ITBM, Perbadanan Kota Buku (PKB) dan Majlis Buku Kebangsaan (MBKM),” katanya.

Beliau berkata demikian susulan satu lagi laporan hari ini bahawa syarikat tersebut akan ditutup untuk menjimatkan kos kerajaan.

Syarikat itu merupakan antara beberapa agensi, bahagian dan projek bawah Kementerian Pendidikan yang dilaporkan akan dirombak semula bagi menjimatkan kos kerajaan.

Bagaimanapun The Malaysian Insight difahamkan ada usaha dalam Kementerian Pendidikan untuk cuba mengekalkan ITBM dan Institut Pendidikan Guru daripada dikecilkan atau ditutup.

Pelan rasionalisasi untuk menjimatkan kos ini difahamkan berpunca dari Kementerian Kewangan dan melibatkan enam agensi, bahagian dan projek Kementerian Pendidikan.

Mengikut rancangan itu, ITBM akan ditutup dan peranannya menjalankan kerja-kerja penterjemahan dan penerbitan buku akan diambil alih oleh DBP, sebuah badan berkanun bawah Kementerian Pendidikan.

ITBM pula satu syarikat berhad milik Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) yang menguruskan hal ehwal penterjemahan di Malaysia.

Ia ditubuhkan pada 1993 dengan modal berbayar untuk menampung kos mengurus sebanyak RM29.41 juta 

The Malaysian Insight difahamkan ITBM kini menanggung liabiliti lebih RM6 juta sejak empat tahun lalu, yang terkumpul sejak kerajaan memberi mandat kepadanya pada 2011 untuk menerbitkan buku karya asli dan tidak lagi hanya terjemahan.

Untuk mengatasinya, Sakri berkata syarikat itu menambah baik keseluruhan operasi yang antara lain bertujuan memperkasa institusi dan menghasilkan formula perniagaan lebih berdaya saing.

Ia bertujuan menjana keuntungan fizikal bagi operasi ITBM, katanya yang menambah, syarikat itu juga memfokuskan kepada penyediaan khidmat terjemahan, kejurubahasaan, latihan dan projek komersial. – 11 April, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen