SPRM tahan lelaki subahat dengan pegawai kerajaan guna dokumen palsu


SPRM hari ini menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kerana disyaki bersubahat dengan seorang pegawai kerajaan menggunakan dokumen palsu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Mei, 2023.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan seorang lelaki berusia 40 tahun bagi membantu siasatan kerana disyaki bersubahat dengan seorang pegawai kerajaan dalam urusan pindah milik tanah seorang individu menggunakan dokumen palsu.

Menurut sumber suspek yang bekerja sendiri ditahan pada 1.55 tengah hari ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor.

Sumber berkata kegiatan suspek terbongkar selepas waris pemilik tanah itu mengesahkan penama yang merupakan bapanya sudah meninggal dunia dan tanah itu tidak pernah dipindah milik kepada mana-mana pihak. 

Katanya suspek dipercayai bersubahat dengan seorang pegawai di sebuah daerah di Selangor bagi urusan pindah milik tanah itu kepada seorang individu lain tanpa pengetahuan waris.

Pengarah SPRM Selangor Alias Salim mengesahkan penahanan itu dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam esok untuk mendapatkan perintah reman. – Bernama, 2 Mei, 2023.


Sign up or sign in here to comment.


Comments