China seru dunia tingkatkan bantuan untuk Afghanistan


Wakil tetap China di PBB Zhang Jun menyeru masyarakat antarabangsa menghulurkan lebih banyak bantuan untuk menyokong Afghanistan menangani situasi kemanusiaan. – Gambar EPA, 24 Jun, 2022.

WAKIL tetap China di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Zhang Jun menyeru masyarakat antarabangsa menghulurkan lebih banyak bantuan untuk menyokong Afghanistan menangani situasi kemanusiaan di negara ini.

Zhang berkata keadaan yang berlaku di Afghanistan boleh dijadikan iktibar bahawa campur tangan ketenteraan dan negara lain tidak membawa apa-apa manfaat di negara itu.

“Sebaliknya semua pihak perlu mengakui prinsip bahawa negara itu hanya boleh ‘dipimpin oleh rakyat Afghanistan, dikuasai oleh rakyat Afghanistan sendiri’.

“Semua pihak juga perlu berinteraksi dengan kerajaan sementara negara itu dengan sikap pragmatik, menyokong kedamaian dan kesatupaduan domestik serta mencari model pentadbiran yang selaras dengan keadaan sebenar Afghanistan,” katanya ketika berucap di Majlis Keselamatan PBB semalam. 

Menurut Zhang, situasi kemanusiaan dan ekonomi di Afghanistan kian membimbangkan setelah pengunduran pasukan tentera asing pada Ogos tahun lalu.

Setakat ini, program respons kemanusiaan Afghanistan masih kekurangan modal sebanyak AS$3 bilion (RM13.2 bilion).

Pada April, pelbagai pihak terdiri pakar isu kemanusiaan PBB menyeru Amerika Syarikat (AS) untuk membatalkan pembekuan aset luar negara Afghanistan bagi mengubah keadaan kehidupan golongan wanita dan kanak-kanak di negara itu.

“Afghanistan bergelut dengan bermacam-macm masalah lain termasuk keselamatan, antikeganasan, antidadah dan pelarian.

“Untuk menghadapi masalah itu adalah penting untuk membantu Afghanistan membanteras pelbagai kumpulan keganasan seperti “Daesh” dan “ETIM”, selain menyokong Afghanistan untuk menggantikan tanaman popi, selain memastikan hak dan kepentingan wanita serta kanak-kanak Afghanistan dalam pendidikan serta pekerjaan terus dipelihara,” kata Zhang.

Beliau turut menekankan bahawa China dan Afghanistan adalah negara jiran yang baik.

Katanya, kerajaan China telah menghulurkan bantuan kecemasan bernilai RMB250 juta (RM165 juta) kepada negara itu sejak musim sejuk tahun lalu.

“Bantuan bilateral yang melibatkan modal sebanyak RMB1 biliion (RM658 juta) pula akan terus dilaksanakan dan China bersedia bersama-sama masyarakat antarabangsa untuk memberi sumbangan baharu untuk masa depan yang lebih cerah di Afghanistan,” katanya. – Bernama, 24 Jun, 2022.


Sign up or sign in here to comment.


Comments