Pengguna media sosial bidas ahli politik, gesa hentikan 'wayang' ketika bantu mangsa banjir


Elill Easwaran

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Mohd Harun sekali lagi menerima kritikan apabila klip video beliau membersihkan pusat pemindahan sementara tular.– Gambar Facebook 26 Disember, 2021.

RAKYAT Malaysia menerusi media sosial menggesa ahli politik agar berhenti berpura-pura untuk membantu mangsa banjir berikutan lebih banyak klip video tular memberi gambaran bantuan itu sekadar untuk kandungan media sosial.

Ada yang menyifatkan tindakan mereka hanya ‘wayang’. 

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Mohd Harun sekali lagi menerima kritikan apabila klip video beliau membersihkan pusat pemindahan sementara tular. 

Setakat ini nama Rina berada dalam 10 teratas topik trending di Twitter. 

Ca$h#R (@KeshSinghR1) mempersoalkan video Rina Harun sama ada beliau berimaginasi membersihkan lumpur di lantai. 

Beliau juga secara sinis mengucapkan tahniah kepada Rina kerana memenangi anugerah ‘wayang’ minggu ini. 

Seorang lagi pengguna media sosial Ahmad Yahya (@yahyaa_89) meenulis : Hanya di Malaysia seseorang yang tidak cekap dan tidak berotak seperti Rina Harun boleh menjadi menteri.

Bagaimanapun, Rina membidas pengkritiknya di Facebook dengan mengatakan bahawa beliau berada di Sekolah Kebangsaan Salak di Salak Tinggi untuk membantu pembersihan.

Sekolah berkenaan digunakan sebagai pusat pemindahan banjir dan Rina berkata beliau dan pasukannya membersihkannya sebelum penggal persekolahan yang bermula pada minggu kedua Januari.

“Alhamdulillah, semua keluarga sudah kembali ke kediaman masing-masing selepas banjir surut.

“Saya berbangga dengan semangat para sukarelawan dan tenaga kerja seluruh agensi di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang mengerah keringat bagi memastikan sekolah ini dapat beroperasi seperti biasa apabila sesi pembelajaran bermula nanti,” katanya. 

Seorang lagi pengguna Eldzaryah (@eldzaryah) menyiarkan video sekumpulan wanita Umno berpura-pura membersihkan rumah yang rosak semasa banjir.

Beliau menambah keadaan rumah menjadi lebih kucar-kacir selepas wanita Umno muncul.

Dalam jawapan kepada tweet itu, pengguna (@farahkhairuddin) menyiarkan tangkapan skrin perbualan yang mengatakan wanita Umno berada di sana untuk mengambil gambar dan tidak melakukan apa-apa pembersihan.

Sementara itu satu lagi video yang tular di Twitter hari ini dengan lebih sejuta tontonan menerima pelbagai reaksi daripada orang ramai.

Pengguna Syazwan Shah (@syzwnrose) menyiarkan video seorang VIP dengan pengiring menuju ke Dusun Nanding.

Dalam video sepanjang 28 saat, ia memaparkan sebuah ambulans yang dihentikan bagi memberi laluan kepada VIP. – 26 Disember, 2021.

Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen