Tiada ‘pakatan sulit’ dengan Umno, kata Hadi


Sheridan Mahavera

Presiden PAS Abdul Hadi Awang ketika bercakap kepada pemberita selepas Fastaqim 2.4 di Shah Alam, Selangor hari ini. Dalam sidang media itu Hadi menafikan dakwaan adanya "pakatan sulit" antara partinya dengan Umno bagi menghadapi PRU14 nanti. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 21 Januari, 2018.

TIDAK ada “pakatan sulit” dengan Umno, kata presiden PAS Abdul Hadi Awang yang menafikan khabar angin mengatakan partinya itu menjalin hubungan dengan parti pemerintah Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

Hadi berkata PAS akan bertanding dalam kesemua 45 kerusi yang juga akan ditandingi Umno, selain menyatakan yang parti Melayu itu tidak membuka kerusi pada PAS.

“Itu semua tak betul,” kata Hadi kepada pemberita, menjawab khabar angin PAS ada kerjasama sulit dengan Umno bagi mempertahankan Kelantan dalam PRU14 kelak.

Hadi berkata demikian dalam sidang media selepas berahirnya Fastaqim 2.4, yang menyaksikan pelancaran jentera PRU14 PAS Selangor di Shah Alam hari ini.

Sebelum ini, seteru PAS dalam pembangkang, Pakatan Harapan berulang kali mendakwa parti Islam itu secara rahsia bekerjasama dengan Umno.

Ini kerana, sejak PRU lalu Umno yang mengepalai BN sentiasa menang bila berhadapan dengan lebih dari satu parti pembangkang.

Dalam pada itu, khabar angin mendakwa sama ada Umno akan meletakkan calon yang lemah atau tidak bertanding langsung dengan PAS di Kelantan, negeri yang ditadbir parti Islam itu sejak 1990.

Sebelum ini Sarawak Report mendakwa PAS menerima RM90 juta dari presiden Umno Najib Razak.

Berikutan itu, Hadi menafikan dakwaan tersebut dan menyaman editor laman web itu Clair Rewcastle Brown.

Khabar angin mengenai kerjasama sulit antara Hadi dan Najib mula berkocak apabila mereka dilihat bersama dalam dua majlis berbeza, Gambar fail 2015 ini menunjukkan Presiden PAS Abdul Hadi Awang bersama Presiden Umno Najib Razak dalam sebuah majlis. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Januari, 2018.

Khabar angin mengenai kerjasama sulit antara Hadi dan Najib mula berkocak apabila mereka dilihat bersama dalam dua majlis, iaitu ketika majlis makan malam alumni Universiti Al-Azhar dan perhimpunan hak asasi Rohingya.

Pada 2015, PAS telah memutuskan kerjasama dengan PKR dan DAP kerana hasrat parti Islam itu yang mahu melaksanakan hudud di Kelantan.

Semenjak itu, PAS acap kali menekankan bahawa parti itu mengepalai gabungan pembangkang kedua dikenali sebagai Gagasan Sejahtera Rakyat bagi melawan BN dan PH dalam PRU14 nanti.

Berhubung dua majlis yang disertai Hadi bersama Umno, beliau berkata yang ianya berkaitan isu awam yang berkait dengan kepentingan dua parti itu, yakni kebajikan terhadap orang Islam.

“Dalam isu Palestin dan Rohingya, kita boleh duduk dan bincang. Tapi kalau nak bincang tentang pilihan raya, itu kita nak lawan. Jadi macam mana kita nak kerjasama dengan dia (Umno-BN).

“Kita akan bertanding di semua kerusi (di Kelantan),” kata Hadi kepada pemberita. – 21 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen