Hadi saman Sarawak Report


Diyana Ibrahim

Presiden PAS Abdul Hadi Awang menyaman Sarawak Report kerana menyiarkan artikel yang dikatakan mendakwa pemimpin parti itu menerima wang daripada perdana menteri. – Gambar The Malaysian Insight, 27 April, 2017.

PRESIDEN PAS Abdul Hadi Awang mengambil tindakan menyaman Sarawak Report susulan portal itu menerbitkan artikel yang mendakwa pemimpin PAS menerima wang daripada perdana menteri tahun lalu dalam usaha supaya parti itu menyokong Barisan Nasional.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata saman fitnah itu difailkan di Mahkamah Tinggi London pada 21 April lalu.

“Presiden PAS memfailkan prosiding fitnah di Mahkamah Tinggi London.

“Dan menyerahkan saman terhadap Claire Rewcaste Brown,” katanya pada sidang media di Kota Sarang Semut Kedah hari ini.

Saman itu dibuat susulan penyiaran artikel bertajuk “As Najib Denies All Over 1MDB Lets Not Forget His Many Other Criminal Connentions”.

Menerusi artikel disiarkan pada 6 Ogos, 2016 itu Sarawak Report mendakwa RM90 juta dimasukkan ke dalam akaun pemimpin atasan PAS. Transaksi itu mendakwa ia salah satu usaha Najib “menarik” kepimpinan PAS supaya menyokong Barisan Nasional dan Umno.

Takiyuddin berkata menerusi saman itu, PAS memohon ganti rugi dan perintah injunksi.

Awal hari ini, di persidangan tahunan Wanita dan Pemuda PAS pagi tadi di Kedah, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata parti itu melancarkan kempen kutipan derma RM5 setiap ahli bagi mendapatkan kira-kira RM200,000 bagi menampung kos guaman kes saman itu. – 27 April, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen