Tindakan PAS memalukan, kata Mahfuz


Zulkifli Sulong

Tindakan PAS mengharapkan Sultan membuat keputusan tentang nasib exco PAS di Selangor memalukan, kata Mahfuz. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Mei, 2017.

AHLI Parlimen PAS Datuk Mahfuz Omar menyifatkan tindakan partinya terus kekal dalam kerajaan Selangor dan mengharapkan Sultan yang membuat keputusan sebagai sesuatu yang memalukannya.

Menurutnya, Sultan hanya boleh memberi perkenan atau tidak berdasarkan saranan dan nasihat menteri besar.

“Macamana menteri besar mahu memberikan nasihat kepada Sultan untuk melantik exco baru jika exco PAS tidak meletakkan jawatan,” kata bekas ketua penerangan dan naib presiden PAS itu.

Adalah lebih bermoral untuk PAS melepaskan semua jawatannya di Selangor selepas memutuskan hubungan dengan PKR dan lain-lain parti yang memerintah Selangor sekarang, tambahnya.

Beliau memberikan contoh tindakan bekas menteri besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mendesak exco kerajaan negeri dari Semangat 46 melepaskan jawatan selepas parti itu berpisah dengan PAS pada 1996.

“Tok Guru Nik Aziz dulu desak exco Semangat 46 letak jawatan selepas parti itu putuskan hubungan dengan PAS dan semua exco Semangat 46 lepas itu letak jawatan,” katanya.

Begitu juga dalam kes Johor baru-baru ini apabila seorang exconya meletakkan jawatan selepas didakwa atas kesalahan rasuah.

Abd Latif Bandi meletakkan jawatan sebagai exco kerajaan Johor pada 20 April lalu, selepas mengaku tidak bersalah dalam perbicaraan kes rasuahnya.

Bagi Mahfuz, selagi PAS tidak meletakkan jawatan di Selangor, sultan tidak boleh memutuskan untuk memberi perkenan atau tidak.

“Saya harap PAS boleh buat keputusan berdasarkan tatacara dan perlembagaan,” katanya. – 18 Mei, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen