PAS kekal dalam kerajaan Selangor, kata jawatankuasa pusat


Zulkifli Sulong

PAS memutuskan untuk terus kekal dalam kerajaan  Selangor dan menyerahkan kepada menteri besar untuk membuat keputusan dengan perkenan Sultan Selangor.

Keputusan itu diumumkan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man selepas mesyuarat jawatankuasa PAS Pusat.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan yang menjelaskan keputusan itu berkata, ia terpulang kepada sultan selepas mendapat nasihat menteri besar.

Takiyudin membaca petikan Perlembagaan Selangor iaitu Undang-undang Kerajaan Tubuh Negeri 1959 yang mensyaratkan perlantikan perlu mendapat perkenan Sultan.

“Ia terpulang kepada sultan selepas mendapat cadangan dari menteri besar,” katanya kepada media.

Katanya lagi, PKR juga belum membuat keputusan mengenainya kerana menunggu kepulangan Mohamed Azmin Ali dari luar negara.

Mesyuarat AJK PAS Pusat hari ini dipengerusikan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man yang memangku tugas Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang kini masih mendapat rawatan di Intitut Jantung Negara (IJN).

Mesyuarat Biro Politik PKR pada 16 Mei lalu, tidak membuat apa-apa keputusan tentang kedudukan PAS dalam kerajaan negeri Selangor kerana timbalan presiden yang juga menteri besar Selangor berada di luar negara.

Bagaimanapun biro paling berkuasa dalam PKR itu membuat keputusan mengarahkan semua pemimpinnya yang memegang jawatan politik di Kelantan melepaskan jawatan masing-masing.

Majlis Pimpinan Negeri PKR Kelantan kemudian membuat keputusan akan mematuhi keputusan Biro Politik PKR itu.

PKR mempunyai kira-kira 60 pemegang jawatan lantikan politik di Kelantan termasuklah penyelaras DUN, penyelaras Parlimen, ahli majlis daerah dan perbandaran, penghulu dan juga ahli lembaga anak-anak syarikat kerajaan negeri.

PAS pula mempunyai 5100 ahli dan pemimpinnya yang memegang pelbagai jawatan di bawah kerajaan Selangor.

Tiga pemimpin PAS iaitu Iskandar Samad, Ahmad Zaidy Talib dan Dr Yunus Hairi adalah exco kerajaan negeri. PAS juga mempunyai 13 ADUN di Selangor.– 18 Mei, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen