Graduan terpaksa jual nasi lemak sebab kerajaan gagal, kata Dr Mahathir


Low Han Shaun

Dr Mahathir Mohamad berkata, adalah memalukan buat negara ini sehingga graduan terpaksa mengambil menjual nasi lemak untuk menyara hidup. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 17 Januari, 2018.

BETAPA terdesaknya graduan rakyat Malaysia sampai terpaksa bekerja sebagai penjual nasi lemak dan pemandu Uber disebabkan kegagalan kerajaan menyediakan sistem pendidikan yang bermutu, kata pemimpin pembangkang Dr Mahathir Mohamad.

“Kita tidak boleh berbangga dengan mereka terlibat menjual nasi lemak ataupun jadi ‘driver’ Uber. Ini untuk menampung pendapatan mereka sebab mereka tak ada punca pendapatan sama sekali.

“Mereka terpaksa menjual nasi lemak kerana mereka tak ada peluang kerja. Ini menunjukkan kegagalan kerajaan mentadbir negara kita ini supaya orang yang terlatih dengan ilmu yang tinggi dapat pekerjaan yang dapat memberi pendapatan yang sama dengan tahap kebolehan mereka,” kata Dr Mahathir ketika sesi soal jawab Harapan Baru: Policy Talks melalui Facebook hari ini.

Katanya, adalah memalukan buat negara ini sehingga graduan terpaksa mengambil menjual nasi lemak untuk menyara hidup.

“Ini menunjukkan kegagalan kerajaan mentadbir negara kita ini,” kata bekas perdana menteri yang kini menjadi pemimpin gabungan pembangkang.

“Kalau kita nak jual nasi lemak, kita patut ada universiti yang mengajar kita macam mana nak jual nasi lemak.

“Tapi kita tak ada universiti yang macam tu.”

Dalam ucapannya sebelum ini, Dr Mahathir berkata kadar pengangguran di kalangan anak muda (11%) adalah tiga kali ganda berbanding purata semasa negara (3%).

Katanya, Putrajaya sepatutnya meningkatkan sistem pendidikan, bukannya menaikkan bajet untuk Perjabat Perdana Menteri (PMO).

“Apa yang kita nampak kerajaan mengurangkan peruntukan bajet untuk pendidikan.

“Macam (peruntukan) universiti, bajet dikurangkan kepada RM1.1 bilion dan kita dapati lebih banyak diperuntukkan untuk PMO. Tiga hingga empat kali ganda berbanding waktu saya (memerintah),” katanya.

“Kami dapati peruntukan untuk PMO terlalu tinggi dan kami percaya yang peruntukan setinggi ini tak termasuk dalam bajet dan digunakan untuk memberi elaun dan gaji yang tak ada dalam bajet.

“Macam gaji nelayan, imam dan pemimpin kampung yang buatkan kerajaan popular. Tapi manfaat sepenuhnya dikurangkan. Inilah masalahnya sekarang,” katanya.

Seorang komentar dikenali sebagai Lutfi Ismail bertanya Dr Mahathir sama ada anak muda akan diserap masuk dalam pentadbiran PH jika gabungan pembangkang itu memenangi PRU nanti.

Jawab Dr Mahathir berkata, setiap peluang akan diberikan kepada anak muda untuk memperbaiki kemahiran dan idea mereka, namun masyarakat tidak patut mengetepikan pengalaman dan nilai orang yang lebih tua.

“Kami percaya pada generasi muda. Mereka ada pandangan yang idealis yang mahukan negara membangun dan aman. Tetapi untuk mencapai ini, bukan mudah.

“Kita perlukan perpaduan di kalangan anak muda dan idealisme mereka, dengan pengalaman dari orang tua. Dengan ini sahaja kita boleh merealisasikan idea-idea itu,” katanya.

Dalam pada itu beliau turut mengulang kembali kenyataan yang pelaburan asing harus digunakan untuk kelebihan rakyat Malaysia bagi mendapatkan pekerjaan yang lebih baik dan meningkatkan taraf hidup.

“Pendidikan, peluang pekerjaan dan pelaburan mempunyai ikatan yang kuat. Jika tidak, ia tak akan serasi,” katanya. – 17 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen